Geely telah menjual sebanyak 3.02 juta kenderaan secara global sepanjang 2025 atau naik 39% berbanding jumlah jualan tahun sebelumnya. Dari jumlah berkenaan, 2.45 juta unit merupakan model dengan lencana Geely, 350,495 unit dengan lencana Lynk & Co dan 224,133 unit adalah model-model dengan lencana Zeekr.
Juga dari jumlah keseluruhan berkenaan, 420,097 unit dijual pada pasaran domestik China, naik 4% berbanding 2024. Manakala selebihnya dijual pada pasaran eksport di mana Geely kini berada di 13 pasaran luar China baharu termasuk UK, Itali, Brazil dan Afrika Selatan.
2025 juga menyaksikan Geely berjaya menjual 1.69 juta unit kenderaan tenaga baharu (NEV) termasuk model-model elektrik penuh (EV), hibrid (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan lain-lain. Ini bermakna jualan NEV Geely sepanjang tahun lalu naik lebih 90% berbanding 2024 serta memintas jualan NEV Chery yang terjual sebanyak 903,847 unit.
Dari angka tersebut, model-model siri Galaxy telah terjual sebanyak 1.24 juta (naik 150% berbanding 2024), di mana Galaxy Xingyuan (Proton eMas 5) terjual sebanyak 40,000 unit setiap bulan untuk tujuh bulan berturut-turut, menjadikan jualan kumulatifnya melebihi 530,000 unit! Manakala Galaxy E5 (Proton eMas 7) pula telah terjual sebanyak 230,000 unit.
Untuk 2026, kumpulan Geely mensasarkan jualan tahunan sebanyak 3.45 juta unit atau 14% lebih tinggi dari tahun lalu. Ia termasuk 2.75 juta untuk model-model dengan lencana Geely, 400,000 unit model-model Lynk & Co serta 300,000 unit model dari jenama Zeekr. Geely turut mensasarkan untuk menjual sebanyak 2.22 juta unit NEV atau 32% lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Sasaran yang ditetapkan oleh Geely ini adalah lebih tinggi dari sasaran yang dibuat oleh kumpulan Chery di mana saingan senegaranya itu mensasarkan untuk menjual sebanyak 3.2 juta unit kenderaan sepanjang 2026, juga 14% lebih banyak berbanding tahun lalu.
The post Geely jual 3.02 juta kenderaan secara global sepanjang 2025, 14% daripadanya dijual pada pasaran eksport appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















