Selain mengurangkan harga jualan kenderaannya sehingga RM52,000, Kia Sales Malaysia (KSM) juga mengumumkan akan mengurangkan harga alat ganti kenderaan keluaran syarikat secara purata sebanyak 15%. Ini adalah sebahagian daripada perkara yang diperhalusi hasil daripada pengambilalihan pengedaran Kia daripada Dinamikjaya Motors milik Bermaz bermula 1 Januari lalu.

Langkah ini adalah bagi menanggapi masalah utama yang sejak sekian lama telah menjauhkan pelanggan berpotensi daripada menjadi pemilik kenderaan Kia — disebabkan kos alat ganti yang dirasakan mahal, menjadikan kos penyelenggaraannya lebih tinggi lagi. Pengarah Urusan KSM, syarikat yang kini dimiliki oleh syarikat induk Kia, Emily Lek sebelum ini menjelaskan yang KSM sedang mencari cara untuk mengurangkan kos keseluruhan pemilikan untuk pelanggan dan mempertingkatkan servis lepas jualan jenama itu.

Bagaimanapun, KSM belum mengeluarkan sebarang perincian seperti senarai harga, dan pengesahan untuk semua perkara tersebut hanya akan diketahui apabila laman web baru Kia Malaysia mula beroperasi Khamis ini, 8 Januari. Ini juga bermakna, senarai pengedar di bawah seliaan KSM juga belum didedahkan, dan belum juga diketahui sama ada senarai itu akan melibatkan pengedar dari rangkaian Bermaz sebelum ini.

Apa yang diketahui kini adalah rangkaian lepas jualannya akan disokong oleh gudang alat ganti khusus di Shah Alam. Menurut KSM, ini akan membolehkan mereka “menyediakan alat ganti dalam tempoh yang singkat”, kerana tidak lagi perlu berebut peruntukan dengan pasaran lain ketika ingin mendapatkannya.

Kia Malaysia potong harga alat ganti 15% — tempoh jaminan jadi 5-tahun/150,000 km dari 100,000 km

Seperkara lain yang penting untuk diperhatikan selepas pengambilalihan ini adalah perlindungan jaminan. Walaupun tempoh jaminan yang diberikan masih lima-tahun, had perbatuan jaraknya telah dinaikkan berbanding ketika Kia di bawah seliaan Bermaz — daripada 100,000 km kepada 150,000 km, sama seperti yang diberikan oleh Kia di pasaran glabal. Dengan itu, pakej servis percuma lima-tahun sebelum ini kelihatannya seperti tidak lagi diteruskan.

Semua ini adalah selari dengan pengurangan harga kenderaan Kia yang diberikan, dengan Sportage menjadi antara penerima manfaat yang paling banyak. Sebelum ini, harga jualannya bermula dari RM147,219, yang kini telah dikurangkan sebanyak RM17,000 menjadi RM129,639 bagi varian dengan enjin 2.0 liter NA, sementara untuk enjin 1.6 liter turbo pula melibatkan pengurangan yang sama dengan harga menjadi RM159,320.

Penjimatan yang lebih besar adalah untuk MPV Carnival, yang kini RM52,027 lebih murah, dengan harga bermula dari RM193,861 bagi versi lapan-tempat duduk dengan enjin 2.2 liter diesel. Bagi EV9, harganya kekal seperti sebelumnya (RM370,183 untuk tujuh-tempat duduk, RM375,183 untuk enam-tempat duduk, sekarang termasuk cukai jalan) walaupun dengan duti eksais yang dikenakan bermula tahun ini.

The post Kia Malaysia potong harga alat ganti 15% — tempoh jaminan jadi 5-tahun/150,000 km dari 100,000 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts