Volvo ES90 Exterior
Volvo Cars Malaysia (VCM) mengumumkan bahawa pendaftaran minat (ROI) bagi sedan EV Volvo ES90 kini sudahpun dibuka sebelum model berkenaan dilancarkan ke pasaran tempatan awal tahun ini. Tarikh pelancaran, varian serta harganya masih belum diumumkan, namun VCM mengesahkan bahawa bagi 100 pelanggan terawal yang menempah model ini dengan membuat pendaftaran bermula 2 Januari hingga 31 Mac 2026 akan menerima insentif sebanyak 2%.
Volvo ES90 ini akan terus ditawarkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD). Ia mula diperkenalkan untuk peringkat global pada Mac tahun lalu, diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA2). Tidak seperti EX90 yang diperkenalkan dengan sistem 400-volt untuk permulaan dan kemudian beralih kepada sistem 800-volt pada September tahun lalu, ES90 ini pula terus menerima sistem 800-volt untuk beroperasi.
Ini membolehkan sedan ini menggunakan pengecas pantas DC sehingga 350 kW, membenarkan cas bateri dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 22 minit serta mendapatkan jarak gerak sejauh 300 km hanya dalam masa 10-minit.
Bagi pasaran Malaysia VCM menyatakan bahawa ES90 akan dibekalkan dengan kuasa 333 PS dan tork maksima 480 Nm – ini menunjukkan bahawa ia adalah dari varian Single Motor dengan hanya satu motor tunggal memacu roda belakang, dibekalkan dengan bateri NMC yang membolehkan ia bergerak sejauh 651 km dalam kitaran ujian WLTP. Pada pasaran lain ES90 turut hadir dengan pilihan varian Twin Motor dan Twin Motor Performance yang lebih berkuasa.
ES90 juga merupakan model pertama Volvo yang menampilkan sistem komputer Nvidia Drive AGX Orin sebagai sebahagian dari teknologi Superset, di mana ia mengawal fungsi AI, kelengkapan keselamaran, penderia-penderia kenderaan dan juga sistem pengurusan bateri.
Model ini telahpun dilancarkan di Thailand pada Oktober tahun lalu di mana negara tersebut turut menerima hanya satu varian tunggal iaitu Ultra Single Motor, dijual pada harga 2.99 juta baht (sekitar RM386k) untuk model yang diimport sepenuhnya dari China.
The post Volvo ES90 2026 – pendaftaran minat di Malaysia dibuka; CKD, 333 PS, jarak gerak 651 km WLTP appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















