SUV segmen-B dari Mitsubishi iaitu Xforce sudah dilihat di Malaysia pada Februari tahun lalu, tetapi ketika itu ia masih berselindung di sebalik pelekat penyamaran. Terbaharu, model berkenaan dilihat sekali lagi, dan kali ini tanpa sebarang pelekat! Imej yang kami terima ini dikirimkan oleh pembaca paultan.org Derek Ng, di mana Xforce tersebut dilihat sedang diturunkan dari lori pengangkut di Shah Alam, dan ini petanda jelas bahawa ia bakal dilancarkan pada pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Mitsubishi Xforce muncul buat pertama kali untuk peringkat global di Indonesia pada Ogos 2023. Ia dihasilkan dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Oleh itu Mitsubishi Xforce ini mempunyai saiz dalam kelas segmen-B penuh seperti Honda HR-V (4,385 mm x 1,790 mm x 1,590 mm) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm X 1,825 mm x 1,620 mm), serta lebih besar dari kembar Perodua Traz dan Toyota Yaris Cross.
Ketika diperkenalkan buat pertama kali, Xforce hadir dengan enjin petrol NA 1.5 liter 4A91 DOHC MIVEC yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, menghasilkan kuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik yang memacu hanya roda hadapan.
Kemudian pada Mac tahun lalu, Xforce HEV muncul di Thailand yang digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid e:Motion. Ia menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 4A92 1.6 liter MIVEC empat-silinder berkuasa 95 PS pada takat 5,100 rpm dan tork maksima 134 Nm pada takat 4,500 rpm, di mana enjin ini dalam kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri litium-ion bagi sistem hibrid.
Manakala roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 116 PS dan tork maksima 255 Nm. Namun pada masa-masa tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, motor elektrik ini turut akan dibantu oleh enjin petrol untuk memacu roda yang disatukan menerusi klac lock-up.
Tak kira sama ada dari versi petrol penuh atau hibrid, kedua-dua varian Xforce ini dibekalkan dengan sistem Active Yaw Control (AYC) yang mampu mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan hadapan mengikut situasi pemanduan, membolehkan ia dipandu meredah permukaan off-road walaupun hanya memacu roda hadapan. Kedua-duanya juga diberikan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud, manakala bagi versi hibrid ditambah dengan mod Tarmac serta dua lagi mod untuk pemanduan hibrid iaitu EV Priority dan Charge.
Namun untuk pasaran Malaysia, kita mungkin akan menerima varian 1.5L petrol NA sahaja. Ini kerana berdasarkan gambar yang kami terima ini, Xforce berkenaan menerima perincian-perincian luaran model petrol penuh seperti corak rim aloi 18-inci dan lampu belakang dengan grafik LED merah (albino untuk HEV).
Rupa luaran Mitsubishi Xforce ini menerapkan sepenuhnya rekaan dari model konsep XFC yang muncul pada Oktober 2022. Pada bahagian muka Dynamic Shield Xforce ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L yang agak seiras dengan XFC.
Jalur LED sebelah bawah DRL tersebut dijadikan lampu utama yang agak nipis, dan gabungan kedua-dua lampu itu menghasilkan rekaan berbentuk-T. Ia turut datang dengan kemasan berwarna perak yang agak besar pada bahagian berkenaan. Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, dan ia lebih menonjol tetapi tiada jalur LED disekeliling liang udara.
Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, elemen sarang lebah pada panel sebelah bawah pintu, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.
Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.
Pada bahagian kabin, Xforce menerima pada pemuka yang direka dengan elemen mendatar yang didakwa memberikan pandangan lebih luas pada cermin hadapan, membolehkan pemandu melihat perubahan postur kenderaan ketika dipandu pada permukaan lasak.
Untuk sistem infotainmen, varian tertinggi Xforce hadir dengan skrin sesentuh Smartphone-Link Display Audio 12.3-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan memaparkan tiga bahagian berbeza bagi membolehkan pelbagai fungsi digunakan dalam satu masa.
Skrin ini juga memberikan paparan ‘meter tiga beradik’ yang memberikan informasi termasuk altitud, sudut senget melintang dan menegak, serta kompas, diinspirasikan dari meter yang sama pada papan pemuka SUV legenda Mitsubishi iaitu Pajero.
Ia juga dilengkapi dengan sistem bunyi premium yang dibekalkan oleh Yamaha, juga pertama buat Mitsubishi. Sistem ini menampilkan lapan pembesar suara yang terdiri dari dua tweeter pada tiang-A, woofer pada pintu hadapan, dan dua pembesar suara coaxial dua hala pada pintu belakang.
Mitsubishi Xforce turut diiktiraf dengan penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP), dengan menerima enam-beg udara serta fungsi-fungsi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif (ACC), lampu tinggi automatik (AHB), pemantau titik buta dengan fungsi bantuan tukar lorong serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA).
The post Mitsubishi Xforce dijumpai di Malaysia tanpa sebarang penyamaran; akan dilancar tak lama lagi, 1.5L NA, CVT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.








































































