Proton mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 157,976 unit kenderaan sepanjang 2025. Ini bermakna jualan yang dicatatkan tersebut naik 3.3% berbanding jualan yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, di mana 2024 buat pertama kali jualan Proton tidak meningkat sejak 2018. Dengan jumlah jualan berkenaan Proton menganggarkan pegangan pasarannya kini berada pada 19.4%, naik 0.7% walaupun Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) Malaysia dianggarkan menguncup 0.2% kepada 814,949 units.
Model paling mampu milik Proton Saga terus menjadi pemacu utama syarikat berkenaan bagi mencapai prestasi jualan tersebut, lagi-lagi dengan pengenalan model kemaskini Saga MC3 yang dilancarkan pada akhir November lalu. Sepanjang 2025 sebanyak 74,013 unit Saga terjual termasuk 7,975 unit daripadanya adalah Saga MC3, atau naik 15.1% berbanding tahun sebelumnya.
Proton juga telah menjual sebanyak 28,057 unit X50 dengan, di mana sebanyak 4,287 unit SUV tersebut telah diserahkan kepada pembeli pada bulan Ogos (rekod tertinggi dicatatkan dalam masa 35 bulan) selepas versi facelift model berkenaan dilancarkan.
2025 juga menyaksikan Proton telah mencapai sasaran untuk mengeksport 6,000 unit kenderaan, iaitu rekod tertinggi sejak 2012 dan naik 26% berbanding 2024. Disember merupakan bulan terbaik bagi pasaran eksort Proton dengan 986 kenderaan terjual. Mesir merupakan pasaran eksport Proton terbesar tahun lalu dengan 2,280 unit telah terjual di sana tahun lalu. Malah Proton juga telah memasang 1,316 unit X50 dalam versi pemanduan belah kiri yang dilekat dengan lencana Geely Coolray dan dieksport ke pasaran Vietnam.
Bagi mencapai keputusan ini, Proton sebenarnya telahpun menubuhkan satu lagi anak syarikat iaitu Proton International Corporation (PICSB), di mana diwujudkan khas untuk menumpukan kepada pasaran eksport.
Selain itu Proton juga turut fokus terhadap pengembangan jaringan jualan dan servisnya di Malaysia sepanjang 2025. Sehingga kini Proton sudahpun mempunyai 187 outlet Proton Edar di seluruh negara, termasuk 27 pusat 3S dan 4S baharu serta fasiliti yang digelar sebagai Sales City Centres.
Malah rangkaian jenama kenderaan tenaga baharunya iaitu Proton eMas turut berkembang pesat dan kini merupakan rangkaian EV khusus terbesar di Malaysia dengan 48 pengedar eMas, merangkumi 36 pusat 3S, 12 pusat 1S dan 10 kemudahan Body & Paint khusus. Sebanyak 44 dari pengedar e.Mas berkenaan kini telah dilengkapi dengan kemudahan pengecas pantas DC.
Untuk 2026, Proton dijangka akan melancarkan beberapa model baharu, terutamanya model-model kemaskini yang melibatkan penyelerasan penggunaan enjin 1.5 liter empat-silinder i-GT bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder GEP pada model-model seperti X70, S70 dan X90.
Ia juga dijangka bakal melancarkan model dengan teknologi plug-in hybrid (PHEV) pertamanya, menerusi eMas 7 PHEV yang telah pun didedahkan bulan lalu. Model-model dengan platform Advanced Modular Architecture (AMA) yang dibangunkan sendiri oleh Proton turut dijangka akan meluaskan lagi jangkauan pasaran eksport Proton di mana Saga MC3 yang dipasang di Tanjung Malim turut disahkan akan dijual ke luar dengan lencana Geely, dengan pasaran Filipina akan menjadi antara pasaran awal yang menerima model tersebut.
The post Proton jual 157,637 unit kenderaan pada 2025, naik 3.3% berbanding 2024; jualan eksport cecah 6k unit! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















