Sejak tahun 2023 lagi kita sudah tahu, Malaysia mempunyai jenama motosikal nasional kedua, yang dipanggil sebagai AFAZ. Pelancaran produknya ke dalam pasaran sudah tertangguh sekian lama, namun kali ini ia benar-benar hampir kerana kelibat model pertama dari jenama itu, yang dipanggil sebagai Kencana Sport sudah bukan sahaja dapat dilihat tetapi juga tiba di tangan kami untuk ujian.
Baru sahaja mengambilnya beberapa hari lalu, kami rasakan ini adalah sebuah motosikal yang patut menjadi perhatian mereka yang mencari kapcai permulaan. Harga Kencana Sport ini sudah didedahkan, iaitu RM5,799, dan memetik kata-kata Pengurus Besar dan Pengarah KMSB Motor Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Lim sebelum ini, ia adalah bersesuaian dengan kualiti serta prestasi yang ditawarkan.
Bagi yang belum tahu, AFAZ mempunyai kerjasama dengan pengeluar dari Jepun, iaitu Suzuki, dan Kencana Sport ini adalah hasil pertama yang dapat ditawarkan kepada pengguna Malaysia. Ia menggunakan asas daripada Suzuki Smash Fi, termasuklah enjin, iaitu unit satu silinder 113 cc SOHC suntikan bahan api yang mampu menghasilkan kuasa 9.1 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.0 Nm pada 5,500 rpm.
Namun, menjadikan motosikal ini istimewa adalah AFAZ mengubah penampilannya, menggunakan rekaan yang mereka bangunkan sendiri, serta dinaik taraf berbanding Smash Fi. Lampu hadapan kini adalah unit LED, siap dengan DRL serta tulisan AFAZ di dalamnya, manakala di belakang, pencahayaan LED menghasilkan bentuk seakan huruf A, berkemungkinan ada kaitan dengan jenamanya.
Daripada maklumat yang kami terima, Kencana Sport menggunakan 40% bahan keluaran tempatan dan ini adalah termasuk panel badan, ekzos, rim serta ekzos, manakala enjin serta kerangka asas pula datang daripada beberapa kilang Suzuki di sekitar Asia Tenggara.
Panel meter, daripada pemerhatian kami, adalah sama seperti Smash Fi yang dipasarkan di Filipina. Unit ini cumalah jenis analog biasa untuk kelajuan dan tahap minyak, namun turut memaparkan informasi penting lain seperti kedudukan gear, amaran enjin serta lampu tinggi.
Selepas kunci dipulas secara manual, motosikal ini boleh dihidupkan sama ada menggunakan suis di bahagian kanan pemegang atau penendang di tepi enjin. Kuasa pula dipindahkan daripada enjin ke roda belakang melalui transmisi manual empat kelajuan serta rantai, yang mempunyai penutup secara penuh.
Pada pendapat kami, motosikal ini tidak menggunakan nama Sport secara sesuka hati. AFAZ menaik taraf dua penyerap hentak di belakang dengan unit daripada Kayaba, dan ketegapannya memang terasa. Kemudiannya, dalam keadaan asal juga ekzos motosikal ini sudah mempunyai bunyi sport, tidaklah bisu terus. Ia jelas kedengaran, bukan setakat waktu memecut, tetapi juga waktu melahu (idle) dan memperlahankan motosikal.
Tangki bahan api Kencana Sport berkapasiti 4.2 liter. Ia terletak di bawah tempat duduk, bersebelahan dengan ruang kecil yang cukup untuk memuatkan baju hujan atau mungkin juga barangan keperluan lain. Tugas membrek dijalankan unit cakera dengan angkup Nissin di hadapan, serta unit dram di belakang.
Segala informasi penting tentang AFAZ Kencana Sport ini sudah didedah, tetapi kami masih belum tahu secara tepat bila ia akan dilancarkan secara rasmi. Berkemungkinan pada hujung bulan ini, namun maklumat yang kami terima ia sudahpun berada di wakil pengedar motosikal AFAZ di seluruh negara. Jika berminat bolehlah masuk merisik. Selain warna biru seperti dalam gambar, ada juga warna merah untuk Kencana Sport ini.
Nantikan kemudian laporan tunggang uji, selepas kami dapat mengumpul maklum balas penting berkenaannya.
The post AFAZ Kencana Sport hasil kerjasama syarikat Malaysia dan Jepun, 113 cc, akan dijual pada harga RM5,799 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
























































