Bagi mengatasi masalah saman degil yang tertunggak, ada yang mencadangkan supaya diperkenalkan pilihan bayaran saman secara ansuran bagi meringankan beban kewangan pengguna yang terlibat. Bercakap kepada NST, Profesor Madya Dr Law Teik Hua dari Pusat Keselamatan Jalanraya Universiti Putra Malaysia menjelaskan, dengan membenarkan pengguna membayar saman secara ansuran, ia akan menyelesaikan masalah kemampuan dan kesanggupan untuk melunaskan saman tertunggak, terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.
“Dengan menawarkan bayaran ansuran yang piawai dan dihebahkan secara meluas, kita akan menyelesaikan masalah kemampuan untuk membayar saman tersebut. Ia akan mengalih nilai keseluruhan yang tidak mampu dibayar itu kepada pecahan lebih kecil dan konsisten untuk diselesaikan,” jelasnya.
“Contoh pernyataan yang ingin disampaikan daripada pendekatan ini adalah: kami faham kekangan kewangan anda dan kami akan bantu untuk meringankannya, tetapi komitmen anda perlu kekal dan itu tidak boleh dirunding. Ia menggabungkan rasa belas kasihan dan ketegasan, yang sangat penting untuk sesebuah penguatkuasaan yang berkesan,” tambahnya.

Law juga menekankan bahawa sistem tersebut perlu digandingkan dengan penguatkuasaan tegas, yang mungkin akan melibatkan denda automatik bagi pesalah, misalnya seperti pembekuan cukai jalan atau pembaharuan lesen memandu.
“Masalahnya juga datang daripada penguatkuasaan. Sekiranya hukuman sebenar tidak dikenakan, tiada sesiapa pun yang akan merasakan keperluan untuk melunaskan saman. Ia menjadi seperti tikam nombor ekor pula, dengan hanya mereka yang tidak bernasib baik yang terpaksa membayar saman,” ujarnya, dengan menyatakan penguatkuasaan yang pilih bulu juga menyumbang kepada budaya tidak bayar saman ini, kerana masyarakat melihatnya sebagai pilihan.
Cadangan Law itu datang selepas ada laporan yang menyatakan JPJ berjaya mengutip sebanyak RM93.51 juta dari saman tertunggak sejak diskaun 50% ditawarkan sejak 1 November 2025. Bagaimanapun, ini mewakili hanya sebahagian kecil sahaja daripada jumlah keseluruhan RM1.42 bilion saman tertunggak.
The post Pilihan bayar saman secara ansuran mungkin akan selesaikan masalah saman degil tertunggak — pakar appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















