Honda Malaysia (HMSB) telah meraikan dua lagi pemenang cabutan bertuah bagi kempen Because of You yang dianjurkan sempena ulangtahun ke-25 syarikat tersebut. Kali ini, dua pemenang terbabit masing-masing membawa pulang seunit Civic 1.5L RS dan CR-V 2.0L e:HEV RS.

Pemenang bertuah yang berjaya membawa pulang Civic 1.5L RS ialah Zulkeffli Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, yang membeli HR-V 1.5T V sebagai kereta kedua buat keluarganya. Dia yang tidak dapat menghadiri majlis penyampaian hadiah ini telah diwakili anaknya Nuramirah Zulkeffli dan Nuratikah Zulkeffli.

“Honda benar-benar menghargai para pelanggannya. Sebagai pemilik Honda sedia ada, saya sentiasa mempercayai jenama ini, jadi ia menjadi pilihan pertama secara automatik apabila saya mencari sebuah kereta kedua untuk keluarga. Kini, bukan sahaja saya memiliki sebuah SUV baharu, malah juga sebuah Civic RS yang baru dimenangi di laman rumah saya, di samping City saya. Keluarga saya amat teruja, dan kami tidak sabar untuk memandunya,” katanya.

Honda M’sia rai pemenang bulan Nov kempen Because of You – memenangi Civic 1.5L RS, CR-V e:HEV RS

Sementara itu, Mohamad Farees Rahim Ab Kadir dari Johor benar-benar terkejut apabila mengetahui dia telah memenangi CR-V e:HEV RS. Penyertaannya dalam peraduan cabutan bertuah tersebut adalah hasil daripada pembelian sebuah City Hatchback RS.

“Memenangi CR-V e:HEV RS benar-benar di luar jangkaan saya. Saya memang ada terfikir untuk menaik taraf kepada sebuah SUV suatu hari nanti. Kini, saya mempunyai pilihan sama ada memandu sebuah hatchback yang sporty atau menikmati pemanduan SUV yang lebih premium bersama keluarga,” katanya.

Kedua-dua kenderaan ini merupakan antara enam hadiah utama yang ditawarkan oleh syarikat tersebut sempena sambutan ulang tahunnya. Awal bulan ini, dua pemenang pertama telah menerima hadiah masing-masing, dan dengan pengumuman pemenang bagi bulan November, masih terdapat dua hadiah utama yang belum didedahkan.

The post Honda M’sia rai pemenang bulan Nov kempen Because of You – memenangi Civic 1.5L RS, CR-V e:HEV RS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts