Di institut memandu di seluruh negara, penggunaan kereta manual bagi latihan dan ujian memandu masih dilaksanakan bagi memberikan pilihan bagi yang ingin mengambil lesen memandu manual (D) yang membenarkan individu terbabit memandu kedua-dua kereta manual dan auto.

Walau bagaimana pun, di persidangan Dewan Negara semalam, Senator Robert Lau Hui Yew telah mengemukakan soalan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi mengetahui rancangan Kerajaan berhubung ujian memandu kereta manual. Kata beliau, memandangkan Proton telah menghentikan pengeluaran kereta manual dan Perodua akan berbuat demikian menjelang 2026, menyebabkan tiada lagi kereta manual keluaran tempatan untuk ujian memandu kecuali diimport dari luar negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjawab, pelaksanaan latihan dan ujian memandu di insitusi memandu tidak terikat kepada penggunaan kereta manual keluaran tempatan semata-mata.

“JPJ membenarkan institut memandu menggunakan kenderaan yang memenuhi spesifikasi teknikal dan keselamatan yang ditetapkan, termasuk kenderaan sedia ada di institut memandu yang telah diluluskan Sijil Kenderaan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Penggunaan kereta manual di institut memandu tidak semestinya hanya keluaran Proton, Perodua – MOT

“Oleh itu, isu penghentian pengeluaran kenderaan manual oleh pengeluar tempatan tidak menjejaskan pelaksanaan latihan dan ujian memandu pada masa ini,” katanya di Dewan Negara semalam.

Tambahnya, pada masa yang sama, Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) Motokar yang digunapakai oleh JPJ merangkumi pembelajaran asas pemanduan bagi transmisi manual dan automatik.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan industri automotif dan keperluan sektor pengangkutan bagi memastikan dasar latihan dan ujian memandu kekal selari dengan keperluan keselamatan jalan raya serta realiti penggunaan kenderaan di Malaysia,” katanya lagi.

Nampak gayanya, buat masa ini, kerajaan masih mahu meneruskan pengambilan lesen memandu manual sebagai pilihan walau pun di pasaran Malaysia, hanya Perodua sahaja yang masih memproduksi dan menjual kereta manual bertaraf marhaen iaitu Axia E yang memang menjadi pilihan institut memandu.

The post Penggunaan kereta manual di institut memandu tidak semestinya hanya keluaran Proton, Perodua – MOT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts