Hari demi hari, smart semakin jauh berubah daripada identitinya sebagai pengeluar kereta bandar kecil. Selepas memperkenalkan beberapa SUV elektrik yang meluaskan hala tujunya, smart kini bersedia melangkah lebih jauh dengan kemunculan sebuah sedan besar baru yang dikenali sebagai #6.
Model ini muncul dalam dokumen pendaftaran di kementerian industri dan teknologi maklumat (MIIT) China, seperti dilaporkan oleh Autohome. Saiznya agak besar, dengan panjang 4,906 mm, lebar 1,922 mm dan tinggi 1,508 mm – hanya kurang 50 mm berbanding Mercedes-Benz E-Class semasa dari segi panjang, malah mengatasinya dalam hampir semua dimensi lain kecuali jarak roda, yang mencatatkan 2,926 mm.
Daripada imej yang terdedah, bahagian hadapan jelas mengekalkan identiti smart menerusi rekaan seperti pada #1 dan #3, termasuk jalur lampu LED melintang yang bersambung terus ke lampu utama nipis, serta bukaan udara tengah yang menurun, kali ini dengan bingkai menyerlah dalam warna badan.
Semua ini dipadankan dengan bentuk sedan elektrik buatan China yang elegan, lengkap dengan garisan tingkap enam panel yang memanjang, pemegang pintu pop-out yang rata dan perincian hitam berkilat pada bahagian bawah untuk mengurangkan visual ketinggian kenderaan.
Bahagian belakang pula menyaksikan perubahan ketara daripada gaya comel model-model smart lain kepada penampilan lebih sporty. Jalur lampu belakang penuh masih dikekalkan, namun bentuk segi empat dan rekaan dalaman gelap memberikan aura seakan kereta moden yang tegap. Turut kelihatan ialah spoiler aktif belakang, bersama rekaan bampar agresif dan kemasan bawah berwarna badan yang melengkapkan rupa keseluruhan.
Tidak seperti model smart lain yang sepenuhnya elektrik, lencana EHD pada bahagian belakang memberi petanda kepada penggerak plug-in hybrid, sama seperti sistem yang digunakan pada #5 EHD. Asasnya dijangka hampir sama, dengan #6 disahkan menggunakan enjin petrol 1.5 liter BHE15-CFZ turbo empat silinder dengan kecekapan terma 47.26%, menghasilkan 163 PS dan 255 Nm – enjin yang mempunyai kaitan dengan unit pada Proton X50 facelift.
Model #5 EHD dilengkapi transmisi hibrid khusus tiga kelajuan (3DHT Evo) bersama motor elektrik 272 PS/380 Nm, memberikan jumlah kuasa keseluruhan 425 PS dan 635 Nm yang dihantar sepenuhnya ke roda hadapan. Ia juga ditawarkan dengan bateri LFP 20 kWh dan 41.46 kWh, menawarkan jarak pemanduan elektrik penuh masing-masing 120 km dan 252 km mengikut kitaran CLTC di China, seterusnya menghasilkan jarak gabungan sehingga 1,483 km atau 1,615 km. Dengan bentuk aerodinamik #6 yang lebih licin, jarak pemanduan dijangka sedikit lebih baik.
smart #6 dijangka dilancarkan di China seawal tahun depan sebelum memasuki pasaran global. Trenkuasa PHEV ini dijangka membantu memulihkan jualan smart yang merosot ketika permintaan EV mula perlahan. Dan bagi peminat model kecil smart, jangan risau – sebuah dua tempat duduk mirip fortwo yang dikenali sebagai #2 turut dirancang hadir menjelang akhir 2026.
The post smart #6 EHD terdedah – sedan segmen D PHEV saiz hampir seperti Mercedes-Benz E-Class, enjin 1.5T appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















