Nissan memperkenalkan sebuah SUV kompak baru bernama Kait khas untuk pasaran Amerika Latin, dengan Brazil menjadi negara pertama yang menerimanya. Model ini turut dihasilkan di Kompleks Industri Nissan Resende di Brazil sebelum dieksport ke lebih 20 pasaran lain di rantau tersebut.
Kait dibina atas platform V Nissan, sama seperti Kicks generasi pertama (P15) yang turut ditawarkan di Malaysia dengan sistem hibrid e-Power. Dari segi saiz, Kait berukuran 4,304 mm panjang, 1,760 mm lebar, 1,611 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm – hampir sama dengan P15 Kicks. Kapasiti but juga tidak berubah pada 432 liter.
Reka bentuknya lebih tegap dan tajam berbanding “saudaranya”, dengan bahagian depan menampilkan lampu LED nipis, jalur lampu siang dan gril lebar berpalang melintang. Di bahagian sisi, garisan tingkap yang menaik dan rel bumbung memberi gaya lebih lasak, manakala bumbung sedikit melandai mengalir ke cermin belakang yang condong.
Bahagian dalaman pula menampilkan papan pemuka yang berlainan daripada P15 Kicks, tanpa bonggol di atas corong udara tengah. Corong udara tepi direka lebih bersegi supaya sepadan dengan panel pintu, namun butang kawalan dan roda stereng kelihatan dikekalkan daripada Kicks.
Di Brazil, Kait berada dalam barisan model yang turut merangkumi Kicks P15 (dipasarkan sebagai Kicks Play) serta Kicks generasi kedua P16 yang menggunakan platform Renault–Nissan CMF-B HS. Namun laporan tempatan menyatakan bahawa Kait baru ini dijangka menggantikan Kicks Play.
Perbandingan harga menguatkan jangkaan tersebut kerana kedua-dua model bermula pada harga sama, iaitu 117,900 real Brazil (sekitar RM91,000). Pada varian tertinggi, Kait mencecah BRL152,990 (RM119,000), sedikit lebih tinggi berbanding Kicks Play pada BRL150,190 (RM116,000). Kicks P16 pula berada pada segmen lebih premium dengan harga antara BRL166,990 hingga BRL199,000 (RM129,000 hingga RM154,000).
Untuk pasaran Brazil, Kait ditawarkan dalam empat varian, semuanya dikuasakan enjin HR16DE 1.6 liter NA empat silinder fleksibel (petrol atau etanol). Ia menghasilkan 110 PS dan 146 Nm apabila menggunakan petrol atau 113 PS dan 149 Nm apabila menggunakan etanol. Kuasa dihantar ke roda hadapan melalui transmisi Xtronic CVT.
Varian lebih tinggi dilengkapkan dengan pakej ADAS merangkumi brek kecemasan automatik, amaran dan pencegahan keluar lorong, kawalan kelajuan adaptif serta pemantauan titik buta. Nissan menyatakan Kait bakal menjadi model penting dalam portfolio serantau, mengiringi Kicks generasi baru dan Magnite yang kini membentuk era baru bagi Nissan di Amerika Latin.
The post Nissan Kait diperkenalkan di Brazil – SUV kompak guna platform sama dengan Kicks P15, 1.6L NA, CVT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




































