LRT3 Laluan Shah Alam yang sepatutnya direncana memulakan operasinya pada 31 Disember ini, nampak gayanya bakal ditangguh lagi sehingga sekurang-kurangnya pada suku kedua (Q2) tahun 2026, laporan The Star. Menurut laporan itu, dengan memetik sumber industri, perkara tersebut disebabkan oleh kerja-kerja ujian sistem dan pentauliahan, iaitu peringkat terakhir dan paling mencabar dalam projek berkenaan.

Laluan LRT3 Shah Alam kini sedang menjalani ujian operasi tanpa gangguan (fault-free run) yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Dalam fasa ini, sebanyak 22 set tren bersama sistem sokongan masing-masing perlu dapat diintegrasikan serta beroperasi secara berterusan dan boleh diyakini, sebagaimana yang diharapkan daripada sistem tren tanpa pemandu mengikut piawaian Tahap Automasi 4 (Grade of Automation 4 standard), menurut laporan itu.

“Jika tren tidak dapat mengekalkan kelajuan ini secara konsisten dan boleh dipercayai, sela perkhidmatan yang dirancang iaitu setiap enam minit tidak dapat dicapai. Keadaan ini akan memberi kesan langsung kepada kapasiti dan kekerapan perkhidmatan untuk para penumpang, serta tidak memenuhi spesifikasi yang telah dinyatakan dalam Skim Keretapi yang dibentangkan untuk pemeriksaan awam,” kata satu sumber yang dipetik oleh The Star.

LRT3 Shah Alam ditangguh lagi, hingga Q2 2026

Pada pertengahan November lalu, Loke berkata tarikh sasaran terbaharu bagi operasi LRT3, atau Laluan Shah Alam, telah disemak kepada 31 Disember 2025. Walau bagaimana pun, ia hanya akan disahkan setelah semua fasa ujian memenuhi kepuasan pihak berkuasa.

Sebelum itu, pada hujung Ogos lalu, Loke mengumumkan bahawa laluan tersebut, yang pada asalnya dijadualkan mula beroperasi pada 30 September, telah diberikan garis masa baharu pada hujung tahun. Beliau berkata beberapa ujian masih diperlukan, menyebabkan sedikit kelewatan.

Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 25 stesen termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Apabila beroperasi kelak, LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

The post LRT3 Shah Alam ditangguh lagi, hingga Q2 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts