Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan dijangka dapat menjana penjimatan sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun berdasarkan data penggunaan domestik serta andaian bahawa sekitar 20% daripada jumlah penggunaan RON95 pada masa ini melibatkan pengguna yang tidak layak menerima subsidi.

Jelasnya, julat penjimatan tersebut mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global, iaitu antara USD60 hingga USD80 setong, serta pelaksanaan penghapusan subsidi ke atas segmen yang tidak disasarkan seperti warga asing dan pengguna komersial.

“Semasa menangani ketirisan subsidi, pendekatan kerajaan secara penyasaran subsidi mempunyai kelebihan tidak menyebabkan peningkatan kadar inflasi yang mendadak berbanding dengan pendekatan untuk menaikkan harga RON95 kepada harga pasaran untuk semua. Dengan pendekatan penyasaran subsidi, kadar inflasi dijangka kekal di bawah kadar 2% untuk 2025 dan 2026.

“Di samping itu, penyasaran subsidi juga membantu dari segi kos sara hidup untuk menampung tahap kegunaan RON95 yang berbeza di kalangan rakyat disebabkan antara lain kerana rakyat mempunyai jarak berbeza di antara tempat tinggal dan tempat bekerja,” katanya.

Negara jimat RM2.5b-RM4b setahun susulan pelaksanaan rasionalisasi RON95 – Anwar Ibrahim

Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) mengenai anggaran penjimatan kos sistem dan belanja pelaksanaan tahunan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 menerusi jawapan bertulis di laman web rasmi Parlimen.

Tambahnya, kerajaan sentiasa komited untuk mengamalkan pendekatan fiskal yang berhemah dan bertanggungjawab. Pelaksanaan penyasaran subsidi bukanlah langkah yang akan menambah hutang negara.

Sebaliknya, beliau berkata, ia merupakan strategi penting bagi mengurangkan liabiliti jangka panjang, menstabilkan kedudukan fiskal negara serta mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.

“Penjimatan melalui penyasaran subsidi ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat dan pembiayaan pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam negara,” katanya.

The post Negara jimat RM2.5b-RM4b setahun susulan pelaksanaan rasionalisasi RON95 – Anwar Ibrahim appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts