Banyak yang Proton dedahkan berkenaan platform AMA dan model-model akan datang yang akan diasaskan platform tersebut ketika majlis pembukaan acara Proton Tech Showcase berlangsung di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya semalam.
Selepas Saga MC3, akan ada tiga model lagi disahkan akan dibina menerusi platform tersebut yang setakat ini hanya dikenali sebagai AMA02, AMA05 dan AMA06. Proton menyatakan antara tiga model tersebut, ia akan tampil sebagai SUV dan juga MPV. Tetapi apa yang menarik, ketika pembentangan berkenaan enjin 1.5L empat-silinder i-GT, Proton ada mendedahkan sedikit pembayang berkenaan salah satu SUV yang akan diasaskan dari platform AMA tersebut.
Pembayang berkenaan ditemui pada slaid barisan keluarga enjin 1.5L i-GT, di mana selepas Saga MC3, enjin dalam varian NA dengan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan (PFI) tetapi bukan untuk sokongan kepada sistem plug-in hybrid (PHEV) tersebut akan disumbat ke dalam perut sebuah model SUV baharu.
Tidak seperti Saga MC3 di mana ia datang dengan pilihan kotak gear sama ada CVT atau empat-kelajuan konvensional 4AT, unit rangkaian kuasa yang bakal dimuatkan pada SUV baharu tersebut hanyalah transmisi 4AT.
Maklumat-maklumat yang didedahkan ini seakan menguatkan khabar angin yang bertiup sebelum ini bahawa model dengan kod AMA02 yang akan diperkenalkan oleh Proton selepas ini adalah SUV kompak yang akan dikenali dengan nama Proton Saga Cross. Jadi sekiranya model ini benar-benar dijelmakan kelak, ia akan dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm serta hanya hadir dengan kotak gear 4AT dari Aisin.
Berdasarkan perincian-perincian yang telah diberikan pada Saga MC3, tak mustahil Saga Cross ini juga mungkin akan hadir dengan kelengkapan keselamatan yang merangkumi enam-beg udara dan juga pelbagai fungsi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Dengan kelengkapan dan perincian yang ditawarkan tersebut, mungkin Proton mensasarkan Saga Cross ini untuk ‘mengambil’ sedikit bahagian pasaran yang kini sedang dinikmati oleh Perodua Ativa?
The post Proton Saga Cross bakal diperkenal dengan hanya pilihan enjin 1.5 liter 4-silinder NA dan kotak gear 4AT? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















