VinFast Limo Green telah dipertontonkan di pameran Gakindo Jakarta Auto Week yang sedang berlangsung, lebih awal daripada pelancaran rasminya untuk pasaran Indonesia yang bakal berlangsung pada Mac 2026. Limo Green merupakan sebuah MPV elektrik tujuh-tempat duduk dengan tiga barisan yang telah menerima sambutah hangat di Vietnam, dengan mencatatkan 6,500 unit telah diserahkan dalam tempoh tiga bulan selepas mula dijual.
Mempunyai ukuran 4,740 mm panjang, 1,872 mm lebar, 1,723 mm tinggi serta jarak roda 2,840 mm, Limo Green ini bersaiz hampir sama dengan Toyota Kijang Innova Zenix. Dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP), ia memberikan jarak perjalanan hingga 450 km NEDC.

Bateri dengan kapasiti 60.13-kWj membekalkan kuasa untuk sebuah motor elektrik di depan yang menjana sebanyak 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 280 Nm tork. Ia menyokong pengecasan AC sehingga 6.9 kW, sementara DC hingga 80 kW yang membolehkan SoC dari 10-70% dalam masa 30 minit.
Antara ciri yang tersedia untuk model ini berdasarkan spesifikasi di Vietnam termasuklah rim 18-inci, lampu luaran LED, kawalan pendingin zon tunggal dengan corong untuk semua barisan, skrin sentuh 10.1-inci untuk infotainmen, telematik, empat beg udara, ESC, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, bantuan brek, kamera pandang belakang dan EBD. Untuk pasaran Indonesia, dijangka akan ditawarkan juga ciri bumbung panoramik dan cermin sisi digital.

Limo Green ini menerapkan rekaan yang sama seperti yang dilihat bagi model lain VinFast, misalnya VF6 dan VF7, tetapi dengan wajah depan yang lebih tegak. Di dalam, ia menampilkan konfigurasi tempat duduk 2-3-2 serta rekaan papan pemuka yang ringkas yang menempatkan semua fungsi kenderaan, termasuk kluster instrumen di tengah skrin sentuh.
Di Vietnam MPV ini dijual dengan harga VND749k (sekitar RM118k), bersamaan dengan sekitar 475 juta Rupiah. Dengan harga itu, Limo Green lebih mahal berbanding BYD M6 dan Wuling Cortes yang dijual di Indonesia, tetapi hampir sama harga dengan Aletra L8.
The post VinsFast Limo Green dipertonton di Indonesia — MPV EV 204 PS, hingga 450 km NEDC; lancar Mac 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



































