Honda Malaysia meraikan sambutan ulangtahunnya yang ke-25 pada hujung tahun ini. Selain dari promosi istimewa yang kini sedang berlangsung, syarikat itu turut menyiarkan satu video pendek di laman-laman media sosialnya bagi berterima kasih kepada semua pelanggan di Malaysia yang menyokongnya selama ia beroperasi.
Selain dari model-model biasa, Honda Malaysia turut menampilkan beberapa model sport istimewa yang dibawa masuk secara rasmi ke pasaran tempatan seperti Honda CR-Z, Civic Type R FD2 dan juga Civic Type R FL5 dalam video tersebut. Dan apa yang menarik, ia turut memaparkan bahagian belakang Honda Prelude generasi ke-6 pada penghujung video itu, sebagai teaser bahawa ia bakal di bawa ke pasaran tempat mungkin pada tahun hadapan!
Honda Prelude generasi baharu ini membuat kemunculan sulungnya di Jepun pada September lalu. Ia menampilkan rupa yang hampir sama sepenuhnya dengan versi prototaip yang didedahkan buat pertama kali pada Oktober 2023. Apa yang berbeza hanyalah model produksi ini diberikan penderia-penderia parkir pada bahagian bampar hadapan dan belakang.
Prelude ini sebenarnya berkongsi platform yang sama dengan Honda Civic ke-11, di mana unit rangkaian kuasanya diambil dari Honda Civic Hybrid, manakala suspensi pula disadur dari Civic Type R tetapi semuanya diberikan talaan khas untuk coupe ini.
Jadi Prelude menerima unit rangkaian kuasa e:HEV yang menampilkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson yang menjana 141 hp dan juga tork 181 Nm, digandingkan bersama dua motor elektrik yang menghasilkan 181 hp dan tork maksima 315 Nm. Menurut Honda, secara keseluruhan Prelude ini dibekalkan dengan kuasa sebanyak 200 hp dan tork maksima 315 Nm.
Enjin petrol pada Prelude ini pada kebanyakkan masa hanya akan berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, manakala setiap kali mula bergerak roda hadapan akan dipacu oleh motor elektrik membolehkan tork 315 Nm berkenaan diberikan dari 0 rpm. Namun pada situasi tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin akan dihubungkan kepada motor elektrik untuk bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up yang dibekalkan.
Pada Civic Hybrid, unit rangkaian kuasa eHEV sudahpun diberikan bunyi enjin dan tukaran gear palsu bagi mengelakkan rasa janggal pada pemandu ketika memandu kereta tersebut. Namun untuk Prelude, bunyi berkenaan ditambah baik dengan Active Sound Control (ASC), malah dengan mod Honda S+ Shift, pemandu turut boleh ‘menukar gear’ palsu tersebut secara manual menerusi pedal penukar gear aluminium yang dipadankan pada roda stereng.
Mod berkenaan akan memberikan lapan nisbah gear palsu, dan akan turut memberikan rasa ‘shift shock’ seperti kotak gear sebenar setiap kali gear ditukar. Menurut Honda, rasa dan kepantasan tukaran gear palsu pada Prelude ini diberikan rasa seperti tukaran kotak gear DCT Honda NSX generasi kedua. Sistem ini juga akan memberikan bunyi throttle blip setiap kali gear palsu berkenaan diturunkan secara manual.
Untuk casis, Prelude diberikan konfigurasi suspensi hadapan topang dua paksi yang sama seperti Honda Civic Type R dan juga Acura Integra Type S, membolehkan torque steer yang lazimnya terjadi pada kereta pacuan hadapan ketika memecut dilenyapkan sepenuhnya.
Prelude juga diberikan penyerap hentak adaptif yang sama seperti Civic Type R/Integra Type S namun diberikan talaan yang lebih tersendiri iaitu keselesaan untuk perjalanan jarak jauh seperti sebuah grand touring sebenar, dalam masa yang sama turut memberikan karekter pengendalian yang sporty. Malah jarak trek roda hadapan dan belakang Prelude ini juga dibuat sama lebar seperti Civic Type R (1,626 mm depan/1,613 mm belakang) bagi memberikan kestabilan serta cengkaman roda ketika mengambil selekoh yang lebih baik.
Turut membantu kestabilan dan cengkaman Prelude ini termasuk pemandanan set roda yang menampilkan rim 19-inci pelbagai jejari dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar 235/40R19. Dapat dilihat di sebalik roda tersebut adalah angkup brek empat omboh Brembo di hadapan dalam kemasan biru serta angkup belakang yang lebih kecil juga berwarna biru, yang sebenarnya juga merupakan sistem yang sama digunakan pada hot-hatch Honda Civic Type R.
Di Jepun Honda Prelude 2026 ini dijual pada harga bermula 6,179,800 yen (sekitar RM176k) untuk varian standard, manakala Prelude ON Limited Edition pula dijual pada harga 6,480,100 yen (sekitar RM185k). Ia sebenarnya lebih mahal berbanding Civic Type R di mana model asas hot hatch berkenaan dijual pada harga bermula 4,997,300 yen (sekitar RM143k).
Honda Civic Type R FL5 sudahpun dilancarkan di Malaysia pada September 2023, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM399,900. Sekiranya formula sama dari Jepun digunakan pada pasaran tempatan, adakah Prelude generasi ke-6 ini akan dijual pada harga lebih RM400k?
GALERI: Honda Prelude 2026 pasaran Jepun
The post Honda Malaysia siar <em>teaser</em> Prelude generasi ke-6, bakal dilancarkan di sini pada tahun hadapan? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















































