Banjir kilat melanda Plaza Tol Shah Alam – PLUS

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa insiden banjir kilat sedang melanda laluan sebelum dan selepas susur masuk Plaza Tol Shah Alam.

Menurut kemaskini yang dimuatnaik menerusi Facebook rasminya sebentar tadi, lorong kiri dan lorong tengah serta susur naik ke Persimpangan Shah Alam arah Selatan ( Shah Alam -Seafield) terhalang. Selain itu, turut dilaporkan laluan sebelum masuk ke Plaza Tol Shah Alam dari Lebuhraya Guthrie menghala ke Shah Alam juga dilanda banjir yang menyebabkan lorong kiri terhalang. Sekaligus menyebabkan pergerakan trafik perlahan.

Justeru, PLUS menasihati semua pengguna di laluan terbabit agar memandu lebih berhati-hati selain teruskan bersabar sekiranya anda tersekat dalam kesesakan di lokasi terbabit. Sila patuhi arahan petugas dan papan tanda trafik di lokasi kejadian.

Dalam keadaan cuaca tidak menentu begini, elok rancang perjalanan anda dan peka terhadap laporan perubahan cuaca dari semasa ke semasa. Untuk pemilik kenderaan, jangan lupa mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan anda rosak akibat banjir.

Jika tiada keperluan, tangguhkan dahulu perjalanan anda dan tunggu sehingga hujan reda dan keadaan bertambah baik sebelum memulakan perjalanan. Elak dari meredah air banjir yang kita tidak tahu kedalamannya dan dibimbangi kenderaan akan hanyut dibawa arus yang pastinya mendatangkan risiko buat anda. Jika kediaman atau kawasan anda dinaiki air, bertindak pantas mengalihkan kenderaan anda ke kawasan yang lebih selamat. Dan segeralah berpindah ke lokasi yang selamat sebelum keadaan kian meruncing.

The post Banjir kilat melanda Plaza Tol Shah Alam – PLUS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts