Cyan Racing, pasukan lumba yang telah membawa jenama Volvo memenangi gelaran juara dunia bagi kategori pemandu dan pengeluar pada World Touring Car Championship (WTCC) 2017, muncul mewakili Lynk & Co di kejohanan World Touring Car Cup (WTCR) pada tahun 2019 dengan mempertaruhkan jentera Lynk & Co 03 TCR. Selepas tujuh tahun berlumba dan menggondol enam juara dunia kategori pengeluar dan tiga juara dunia kategori pemandu dalam kejohanan yang kini dikenali sebagai FIA TCR World Tour tersebut, khidmat Lynk & Co 03 TCR nampaknya bakal direhatkan.
Untuk musim depan, Cyan Racing tidak lagi mewakili Lynk & Co kerana ia akan berlumba di bawah jenama induk iaitu Geely sendiri. Jentera yang dipilih untuk dipertaruhkan kali ini adalah sedan segmen-D Geely Preface! Menurut pasukan itu dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, kereta lumba Geely Preface TCR berkenaan kini sudahpun mula dibangunkan di ibu pejabatnya di Sweden dan bakal membuat kemunculan sulung pada awal tahun hadapan, serta bakal mula berlumba dalam FIA TCR World Tour bermula musim 2026.
“Hari ini menandakan peristiwa penting untuk Cyan Racing dan kami gembira untuk mengevolusikan kejayaan kami dan kerjasama jangka masa panjang dengan Geely,” kata pengasas dan pemilik pasukan Cyan Racing, Christian Dahl. Bermula tahun hadapan kerjasama Cyan Racing yang bermula dengan Volvo Cars pada 1996 kemudian beralih ke Polestar pada 2015 dan Lynk & Co pada 2018 sudah masuk tahun ke-30.
“Hakikat bahawa kami akan memulakan tahun ke-30 berturut-turut kerjasama dengan pengeluar automotif benar-benar memotivasikan semua ahli pasukan Cyan Racing, di mana kami memulakan perjalanan dengan Geely sekali lagi bagi mencabar perlumbaan touring car terbaik di dunia,” tambah Dahl.
“Kami telah pun memulakan proses merekabentuk dan pembinaan kereta lumba Geely Preface TCR baharu di ibu pejabat kami di Sweden. Jadual kami padat dan berjalan mengikut perancangan dan matlamat kami adalah untuk Geely Preface TCR membuat penampilan sulung di litar pada awal tahun baharu,” kata CEO dan pengurus pasukan Cyan Racing Fredrik Wahlén pula.
Geely Preface dan juga Lynk & Co 03 sebenarnya berkongsi asas yang sama iaitu dibina menggunakan platform CMA dihasilkan oleh Volvo yang turut menjadi asas kepada model seperti Volvo XC40, dan kedua-duanya dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo Drive-E juga binaan Volvo tetapi kini dikilangkan oleh Aurobay di Sweden.
Kereta-kereta lumba yang dibina dengan spesifikasi FIA TCR ini perlulah diasaskan dari kerangka badan serta menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang sama seperti model produksi jalan raya. Sebab itulah kejohanan ini hanya disertai oleh model-model yang dihomologasikan dari model prestasi sebenar seperti Hyundai Elantra N dan juga Honda Civic Type R.
The post Geely sertai FIA TCR World Tour bermula 2026 – Geely Preface TCR binaan Cyan Racing ganti Lynk & Co 03! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















