Tahun 2025 hampir melabuhkan tirainya, dan tahun ini meriah dengan pelbagai model-model baharu yang dilancarkan oleh pengeluar-pengeluar tempatan, serta jenama-jenama luar tidak kira dari China, Jepun dan Eropah. Tahun depan juga dijangka meriah, dan Toyota nampaknya mungkin akan membawa Vios Hybrid ke pasaran tempatan!
Set gambar ini kami perolehi dari paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook yang dihantar oleh pengguna bernama Weng Ng. Kami difahamkan bahawa kedua-dua Vios Hybrid ini sedang menjalani penggambaran iklan di Malaysia.
Vios – dikenali sebagai Yaris Ativ di Thailand – dalam versi Hybrid ini membuat kemunculan sulung globalnya di sana pada Ogos lalu. Ia ditawarkan dalam dua varian di Thailand iaitu varian hibrid asas Yaris Ativ HEV Premium dan juga varian lebih sporty Yaris Ativ HEV GR Sport.
Jika benar unit-unit yang ditemui ini sedang menjalani penggambaran iklan seperti didakwa, ini berkemungkinan Malaysia juga akan menerima dua varian Vios Hybrid yang sama seperti Thailand kerana kedua-dua unit yang muncul itu adalah dari varian asas HEV (berwarna biru cerah) dan juga HEV GR Sport (merah).
Vios Hybrid ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan Yaris Cross Hybrid di mana kedua-dua model ini diasaskan dari platform sama iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Ia menampilkan enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA empat silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.
Secara keseluruhan, sistem HEV ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 0.7 kWj. Tiga mod pemanduan disediakan untuk unit rangkaian kuasa ini iaitu Eco, Normal dan Power.
Gandingan semua ini membolehkan Vios Hybrid tersebut mencapai penggunaan bahan api 27.8 hingga 29.4 km/l (23.2 km/l pada model biasa), serta emisi CO2 sekitar 77 hingga 82 g/km.
Jadi ia bukan sahaja lebih jimat bahan api dan lebih mesra alam, malah lebih berkuasa dari Vios biasa – bagi model pasaran Malaysia sedia ada, ia dibekalkan dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm.
Selain dari unit rangkaian kuasa, Vios Hybrid ini juga dipadankan dengan sistem brek serta hab roda berbeza, di mana ia menggunakan konfigurasi lima stud bagi mengenakan rim lima lubang dengan PCD 100×5, berbanding hanya empat lubang dengan PCD 100×4 pada model petrol biasa. Tangki petrol juga dikecilkan dari 40 liter kepada hanya 36 liter untuk model penggunaan bahan api lebih rendah ini.
Untuk varian HEV GR Sport di Thailand ia tampil dengan penggayaan lebih garang termasuk diberikan rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50 R17, bampar hadapan dengan rekaan seperti GR Yaris menampilkan gril sarang lebah dan juga liang udara sisi lebih besar, serta kit badan lain merangkumi skirt sisi, dan juga bampar belakang dengan rekaan diffuser agresif.
Selain itu Vios HEV GR Sport di Thailand juga turut diberikan kemasan hitam berkilat pada bumbung, cermin sisi dan juga spoiler but belakang, bersama lencana GR yang dilekat pada bahagian hadapan dan belakang kereta.
Bukan hanya rupa yang lebih garang, varian HEV GR Sport ini juga diberikan talaan lebih sporty pada suspensi di mana ia menerima bar anti-oleng khas hadapan dan belakang, penyerap hentak yang 10% lebih besar, spring hadapan 12% lebih keras, spring belakang 9% lebih keras – semua ini adalah untuk memberikan cengkaman tayar lebih baik. Sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPS) juga ditala semula bagi memberikan rasa stereng lebih jitu.
Manakala pada sebelah dalam kabin, Vios HEV GR Sport ini diberikan upholsteri kulit sintetik berwarna hitam dengan sulaman logo GR pada perehat kepala, jalur merah pada papan pemuka, roda stereng dengan kemasan perak gelap dan juga logo GR, serta sistem audio dengan enam pembesar suara keluaran Pioneer.
Jika dilancarkan di Malaysia kelak, Vios HEV GR Sport ini sudah tentu akan berhadapan terus dengan Honda City RS e:HEV yang buat masa sekarang dijual pada harga RM111,900. Vios dengan enjin petrol sepenuhnya juga dijual di sini pada harga RM96,600 untuk varian paling mahal 1.5G. Jadi agaknya berapa harga Vios HEV GR Sport ini nanti?
GALERI: Toyota Yaris Ativ HEV GR Sport
GALERI: Toyota Yaris Ativ HEV Premium
The post Toyota Vios Hybrid di lihat di Malaysia – 111 PS, varian asas HEV dan HEV GR Sport akan dilancar di sini? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















































