Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menawarkan perkhidmatan tren ETS tambahan sempena musim cuti sekolah, Krismas dan Tahun Baharu 2026.
Menerusi perkhidmatan ETS tambahan ini, jualan tiketnya sudah bermula hari ini dan KTMB menyediakan sebanyak 22,680 tiket. Ia adalah untuk perjalanan dari 11 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026, dan bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral dan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral.
Dua perkhidmatan ETS tambahan tersebut akan disediakan setiap hari untuk laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar, manakala dua lagi perkhidmatan akan beroperasi setiap hujung minggu (pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad) untuk laluan Butterworth-KL Sentral-Butterworth.
“Tren ETS tambahan ini adalah sebahagian daripada usaha KTMB untuk memenuhi permintaan yang tinggi apabila tiket untuk perkhidmatan ETS biasa habis dijual,” kata syarikat itu dalam kenyataannya.
Pengendali kereta api itu menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan mereka dan membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang yang lebih menjimatkan kos. “Penumpang diingatkan untuk tiba di stesen 30 minit lebih awal kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum kereta api berlepas,” katanya.
Awal minggu ini, KTMB berjaya mencatatkan rekod jualan sebanyak 82,896 tiket dalam masa 24 jam untuk perkhidmatan ETS dan Intercity, untuk tempoh perjalanan antara 1 Januari hingga 30 April 2026.
The post KTMB sediakan perkhidmatan ETS tambahan untuk Krismas, cuti sekolah dari 11 Dis 2025-11 Jan 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















