Memang jadi kelaziman bulan-bulan terakhir bakal menyaksikan banyak syarikat kenderaan memperkenalkan model baharu serta mengadakan pelbagai promosi jualan menarik termasuk menawarkan diskaun dan rebat tunai. Mungkin anda ada berhajat untuk memiliki kenderaan baharu, jadi inilah masa yang sesuai untuk membelinya. Bagi yang sudah menempah kenderaan baharu, ini ada siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur dan Sarawak yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VQF, dibuka bidaannya sejak semalam, 20 November. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 24 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 25 November 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QCV, bakal dibuka bidaan mulai 22 November. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 26 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 27 November 2025.
Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.
The post JPJ eBid: VQF dan QCV dibuka untuk bidaan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















