Selain Alfa Romeo Giulia, DLSB Partners Sdn Bhd turut mempertontonkan SUV mewah Stelvio untuk pasaran tempatan. SUV mewah berorientasikan prestasi ini diproduksi di kilang Alfa Romeo di Cassino, Itali dan apabila ia memasuki pasaran Malaysia pada tahun hadapan, pastinya akan diperkenalkan sebagai model import sepenuhnya (CBU). Tempahannya juga sudah dibuka dan harga jangkaannya sekitar RM400,000.
Seperti Giulia, Stelvio juga ditawarkan dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder sebaris dengan hamburan kuasa 280 PS (276 hp atau 209 kW) pada 5,200 rpm dan tork 400 Nm antara 2,000 hingga 4,800 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF, bagi memacu roda belakang menerusi gandar yang dipadankan dengan LSD secara standard, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan kelajuan maksimum cecah 232 km/j. Walau bagaimana pun, Stelvio ini ditambah dengan sistem pacuan semua-roda (AWD), berbanding Giulia yang menggunakan pacuan roda-hadapan.
Untuk sistem suspensinya, ia diberikan double wishbone dengan talaan-sport untuk hadapan dan AlfaLink dengan vertical rod link di belakang. Manakala bagi sistem breknya, ia diberikan cakera ventilasi untuk hadapan dan belakang.

Untuk pengendalian yang lebih mantap, Stelvio turut diberikan Limited Slip Differential untuk tambah baik kawalan cengkaman, pemilih mod pemanduan “Alfa DNA” (termasuk Dynamic, Natural dan beberapa lagi), serta driveshaft gentian karbon untuk keseimbangan berat dan prestasi.
SUV ini berukuran 4,688 mm panjang, 1,903 mm lebar, 1,648 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,818 mm, membolehkan ia menjadi pesaing buat BMW X3, Porsche Macan, Mercedes-AMG GLC 43 dan Jaguar F-Pace.
Untuk imej luarannya, ia juga tak banyak beza dengan Giulia Veloce, termasuk diberikan kit badan yang nampak lebih agresif dengan rona Volcano Black, gril “Trilobo”, lampu utama Adaptive Matrix LED penuh, roda aloi 20-inci dan ciri khas untuk Veloce seperti kaliper brek Brembo merah, lencana Veloce, diffuser sport, rona hitam berkilat pada keliling tingkap, bampar belakang khas dan cermin belakang dengan lapisan gelap.

Untuk bahagian kabinnya, ia juga senada dengan Giulia, yang diberikan sentuhan elegan dan boleh dikatakan agak ringkas dan konvensional termasuk pada papan pemuka. Untuk Stelvio Veloce, ia diberikan roda stereng balutan kulit yang leper di bawah yang diinspirasikan bagai Formula One dan disepadukan dengan butang penghidup enjin, pedal penukar gear aluminium, kluster instrumen digital “Cannocchiale” 12.3-inci dengan tiga pilihan mod (Evolved, Relax, Heritage), pelapik bumbung kemasan gelap, skrin sesentuh infotainmen 8.8-inci, Apple CarPlay dan Android Auto serta kawalan suhu automatik dwi-zon.
Ia juga diberikan tempat duduk sport kemasan kulit rona hitam, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa lapan-hala dan fungsi heated, sistem bunyi Harman Kardon bersama 14-pembesar suara, port USB 2.0 dan USB-C, kemasan kulit pada papan pemuka dan panel pintu, sport pedal kemasan aluminium, sistem navigasi, pad pengecas tanpa wayar, cermin pandang belakang auto-kelam dan sistem kualiti udara.
Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, juga sama seperti Giulia, Stelvio juga diberikan ciri ADAS Tahap 2 secara standard yang merangkumi Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centering, Driver Attention Alert, Forward Collision Warning, Integrated Brake System (IBS), Active Blind-Spot Assist, Rear Cross-Path Detection, Traffic Sign Recognition, Intelligent Speed Assist, Parking Assist dan kamera belakang dengan garisan panduan dinamik.
Ia juga diberikan lapan beg udara, Traction control (ASR), Electronic Stability Control (ESC), brake assist, Hill-Start Assist, dan Tire-Pressure Monitoring System (TPMS).
Bagi yang berminat untuk melihat SUV ini lebih dekat dan memandu ujinya, anda bolehlah ke Casa Alfa Romeo yang merupakan Pusat 3S Flagship (jualan, servis dan alat ganti) yang terletak di RS-G-1, Rhapsody Square, TREC Kuala Lumpur.
Risalah spesifikasi Alfa Romeo Stelvio facelift untuk pasaran Malaysia
The post Alfa Romeo Stelvio Veloce dipertonton di Malaysia – 2.0L turbo, AWD, ADAS; harga jangkaan RM400k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























































































































