Sebelum ini Lebuhraya Pasir Gudang pernah direkodkan sebagai jalan kedua paling teruk di Malaysia, namun kini, ia tidak lagi berada di dalam senarai berkenaan.

Disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang berkata, pelbagai usaha dan kerja penambahbaikan telah dilakukan secara berterusan, dan hasilnya Lebuhraya Pasir Gudang tidak lagi berada dalam senarai 10 jalan paling teruk di negara, laporan Harian Metro.

“Dulu masa mula-mula kita ambil alih pemantauan di Lebuhraya Pasir Gudang, jalan ini adalah jalan yang kedua paling teruk di Malaysia dan sekarang ini sudah keluar daripada 10 jalan yang teruk di Malaysia. Cuma peranan yang kita akan laksanakan adalah pemantauan kenderaan berat yang lebih muatan. Ia selalu digunakan oleh kenderaan berat sebab terdapat banyak kawasan industri dan sebagainya.

“Nanti masa penggulungan, saya akan ceritakan perancangan kita untuk pindahkan lori-lori lebih muatan atau kargo ini kepada sistem rel dari Pasir Gudang. Insya Allah akan dapat kurangkan impak kerosakan di jalan raya,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail hari ini.

Lebuhraya Pasir Gudang bukan lagi antara jalan raya paling teruk di M’sia – lori kargo akan guna sistem rel

Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan tambahan ADUN Permas (BN), Baharudin Mohamed Taib mengenai tempoh siap projek Lebuhraya Pasir Gudang dan isu lampu jalan disepanjang lebuh raya berkenaan.

Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir) turut berkata, Lebuhraya Pasir Gudang ini adalah jalan persekutuan FT17 dengan panjang 30.3 km dah walau pun penyelenggaraannya adalah di bawah tanggungjawab pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), namun bagi tujuan penyelenggaraan lampu jalan terdapat dua agensi iaitu JKR dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang menguruskannya.

“Bermula dari stesen minyak di Perling sehingga ke Persimpangan Perling sepanjang 1.5 km di bawah seliaan JKR, terdapat 52 tiang lampu dan setakat ini tiada kerosakan direkodkan. Seterusnya dari Persimpangan Perling ke Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting sepanjang 23.5km, seliaan lampu jalan adalah di bawah MBJB yang mana terdapat 1,308 tiang lampu dengan 167 unit lampu jalan rosak.

“Untuk memastikan keadaan lampu di sepanjang kawasan ini berada dalam keadaan baik, MBJB sudah melantik kontraktor penyelenggaran tahunan bermula tahun 2026,” katanya sambil menambah ketika ini, MBJB sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikkan kerosakan kabel bawah tanah dan kelengkapan bagi membaiki lampu jalan rosak dengan anggaran kos RM1juta, yang dijangka akan siap pada 15 Disember ini.

“Bagi mengurangkan kerosakan kelengkapan lampu jalan, MBJB juga akan melaksanakan penyelenggaraan pencegahan dengan tindakan menggantikan lampu jalan sedia ada kepada lampu jenis LED Pintar sebanyak 1,308 unit yang dianggarkan dengan kos RM6 juta,”katanya.

The post Lebuhraya Pasir Gudang bukan lagi antara jalan raya paling teruk di M’sia – lori kargo akan guna sistem rel appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts