Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Oktober 2025, dengan melaporkan bahawa sebanyak 75,992 unit telah diserahkan kepada pembeli pada bulan lalu. Ini mewakili peningkatan sebanyak 30%, atau 17,502 unit, berbanding 58,490 unit yang dijual pada bulan September. Ia juga menjadikan Oktober sebagai bulan dengan angka jualan bulanan tertinggi setakat tahun ini.
Menurut MAA, peningkatan jualan tersebut dikaitkan dengan tindakan pengguna yang bergegas membeli model kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) selepas pengumuman Belanjawan 2026 tidak menyebut sebarang lanjutan pengecualian cukai bagi EV CBU, yang akan berakhir pada penghujung Disember ini. Ia menambah bahawa satu lagi faktor ialah kempen promosi hujung tahun yang agresif oleh syarikat-syarikat automotif.
Angka bagi bulan Oktober juga menunjukkan peningkatan 6% (atau 4,307 unit) berbanding bulan yang sama pada tahun 2024, di mana 71,685 unit kenderaan penumpang dan komersil telah terjual. Bagi jumlah tahunan setakat ini (YTD), keseluruhan jualan 2025 sehingga bulan ke-10 adalah mencecah 655,328 kenderaan, sekali gus merapatkan jurang kepada kurang daripada 2% berbanding tempoh yang sama pada 2024, ketika 667,568 unit telah dihantar.
Untuk bulan November 2025, MAA berkata bahawa ia menjangkakan momentum jualan akan diteruskan daripada September, memandangkan permintaan terhadap EV yang diimport sepenuhnya dijangka berterusan sehingga hujung tahun.
The post Jualan kenderaan di Malaysia pada Okt 2025 naik 30% appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















