Kementerian Kerja Raya (KKR) masih belum menerima sebarang cadangan dari Genting Malaysia berhubung kutipan tol atau caj baharu yang akan dikenakan untuk akses ke kawasan yang dimiliki secara persendirian oleh syarikat itu, laporan Bernama.

Tiada permohonan rasmi telah dikemukakan oleh syarikat berkenaan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang turut mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan yang mencadangkan agar istilah “caj masuk” digunakan dan bukannya “tol” bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

“Saya bersetuju dengan cadangannya kerana istilah ‘tol’ boleh mengelirukan. Kita sudah biasa dengan tol yang dikaitkan dengan lebuhraya. Jadi, saya fikir istilah ‘caj masuk’ lebih mudah difahami,” kata Nanta.

Kementerian Kerja Raya belum terima cadangan dari Genting berhubung kutipan tol atau caj baharu

Minggu lalu, Genting Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mengenakan caj ke atas kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands. Di mana kata syarikat gergasi tersebut, langkah itu perlu kerana kos penyelenggaraan cerun dan jalan persendirian sepanjang 24 km itu semakin meningkat. Syarikat itu juga menyatakan bahawa kos untuk menyelenggara jalan tersebut telah dibiayai sendiri oleh mereka sejak 1960an.

Syarikat itu turut menyatakan bahawa penggunaan yang sangat kerap telah menyebabkan Jalan Genting Highland mengalami “kehausan dan kelusuhan yang sangat teruk”, dan memerlukan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Pahang Datuk Razali Kassim pula berkata, pihak terbabit disaran memberi perhatian khusus kepada kebajikan dan komuniti pekerja di kawasan berkenaan. Ini termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dan penduduk yang melalui kawasan itu setiap hari

The post Kementerian Kerja Raya belum terima cadangan dari Genting berhubung kutipan tol atau caj baharu appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts