Kerajaan sedang berusaha untuk mengekalkan sasaran melancarkan LRT3 Laluan Shah Alam pada 31 Disember 2025, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Namun beliau menyatakan bahawa tarikh akhir pembukaan projek itu masih belum ditetapkan, dan hanya akan disahkan setelah semua fasa ujian memenuhi kepuasan pihak berkuasa, laporan New Straits Times.
“Tarikh sasaran terbaharu bagi operasi LRT3, atau Laluan Shah Alam, telah disemak kepada 31 Disember 2025. Namun, ia bergantung kepada hasil ujian kami. Ini kerana fasa ujian akhir yang sedang dijalankan kini merupakan salah satu aspek paling penting bagi perkhidmatan rel,” katanya di Dewan Rakyat.
Tambahnya, sesi percubaan telah dijalankan sejak beberapa minggu lalu untuk memastikan tiada gangguan teknikal apabila laluan itu dibuka, dan ujian tambahan, termasuk penilaian tahap kesiapsiagaan operasi, akan menyusul. “Ini termasuk stesen, sistem rel, kakitangan dan sebagainya. Kami mempunyai tempoh dari sekarang hingga 31 Disember, lebih kurang sebulan lebih, untuk menyelesaikannya,” katanya.

Loke menambah bahawa Rapid Rail telah mengambil 956 pekerja untuk projek tersebut, merangkumi peranan dalam operasi, kejuruteraan, teknikal dan bidang lain bagi memastikan perkhidmatan yang lancar dan selamat apabila laluan itu beroperasi nanti.
Pada 26 Ogos, Loke mengumumkan bahawa laluan tersebut, yang pada asalnya dijadualkan mula beroperasi pada 30 September, telah diberikan garis masa baharu pada hujung tahun. Beliau berkata beberapa ujian masih diperlukan, menyebabkan sedikit kelewatan.
Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 25 stesen termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Apabila beroperasi kelak, LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
The post LRT3 Laluan Shah Alam dijangka mula beroperasi pada 31 Dis, kini dalam ujian fasa terakhir – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















