Motosikal jenama Morbidelli kembali segar dalam pasaran Malaysia apabila MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan empat model baru iaitu tiga dalam kategori touring/adventure dan satu naked. Salah satu daripada model adventure itu adalah T250X, yang dijual pada harga RM9,888 untuk versi Standard dan RM11,288 untuk versi SE. Jaminan adalah selama dua tahun tanpa had batuan.
Motosikal ini tampil dengan tetapan enjin yang ringkas, iaitu satu silinder 249 cc penyejukan udara SOHC, berkuasa 24.4 hp pada 7,500 rpm dan tork 22.3 Nm pada 6,000 rpm, tetapi dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Rim menggunakan tetapan spoked 19 inci di hadapan, dibalut tayar 90/90, manakala di belakang pula terdapat rim 17 inci dengan tayar 110/90. Ia kemudiannya masing-masing dipegang oleh fork USD 41 mm dan monoshock dengan pelarasan pra beban.
Tugas penghentian dijalankan unit cakera di hadapan (265 mm) dan belakang (220 mm), dengan angkup dua piston dan ABS dual-channel diberikan secara standard. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 154 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 11.7 liter.
Meskipun nampak seperti sebuah motosikal yang ringkas, T250X datang dengan meter digital LCD tujuh inci, butang kawalan yang menyala, kawalan cengkaman serta soket pengecas USB-A. Menjadikan versi SE istimewa adalah ia datang dengan beg barangan belakang.
The post Morbidelli T250X dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin satu silinder 249 cc, harga dari RM9,888 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































