Suzuki Fronx akan dilancarkan di Malaysia esok, 18 November 2025. Berita ini dimaklumkan sendiri oleh Naza Eastern Motors menerusi imej teaser yang dikeluarkan pada 14 November lalu.Crossover ini telah pun mula dibuka tempahan sejak September lalu.
Perincian untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui. Namun kami boleh perincikan mengenai Fronx ini yang pernah dipamerkan di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini. Di sana, ia dijual pada harga antara 259 juta hingga 321.9 juta rupiah (RM67k hingga RM84k) untuk model CKD. Walau bagaimana pun, difahamkan Fronx untuk pasaran Malaysia adalah model import sepenuhnya (CBU) dengan kelengkapan ADAS untuk varian tertinggi, dan harganya mungkin melebihi RM100k.
Fronx, yang juga mempunyai model kembarnya yang dikeluarkan oleh Toyota untuk pasaran India dan dikenali sebagai Urban Cruiser Taisor, merupakan SUV bawah empat meter yang berukuran 3,995 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak roda 2,520 mm. Menjadikannya 70 mm lebih pendek tapi 55 lebih lebar berbanding Perodua Ativa yang bakal berentap dengannya di bawah segmen yang sama.

Di pasaran Indonesia, ia ditawarkan dengan varian GL, GX dan SGX, dan dua pilihan penjana kuasa termasuk hibrid ringkas dengan dua gred.
Untuk varian hibrid ringkas, Fronx menggunakan enjin K15C 1.5 liter NA petrol empat-silinder sebaris yang menghasilkan 101 PS dan 135 Nm. Sistem hibridnya terdiri daripada bateri lithium-ion 12 volt dan generator pemula bersepadu (ISG) yang menyediakan bantuan tork serta fungsi start-stop automatik. Ia juga ditawarkan sama ada dengan kotak gear automatik enam-kelajuan atau manual lima-kelajuan. Bagi varian asas GL, ia hadir dengan enjin K15B tanpa sistem hibrid, tetapi menawarkan kuasa sedikit lebih tinggi iaitu 105 PS dan 138 Nm. Pilihan transmisi untuk GL termasuk manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan.
Semua varian dilengkapi tangki bahan api 37 liter, tayar bersaiz 195/60, suspensi hadapan jenis MacPherson dan torsion beam di belakang, brek cakera hadapan berliang serta brek dram di belakang.

Dari segi kelengkapan, varian GL datang dengan rim aloi 16 inci, lampu utama LED jenis reflektor, lampu posisi LED, lampu belakang jenis mentol, stereng pelbagai fungsi berbalut urethane, tempat duduk fabrik, pendingin hawa manual dengan corong belakang, unit audio dengan skrin tujuh-inci, empat pembesar suara, enam beg udara, pengesan jarak belakang, sistem kestabilan elektronik (ESP), kamera undur dan bantuan mula mendaki.
Varian GX ditambah dengan kemasan stereng balutan kulit, skrin pelbagai info 4.2-inci, skrin infotainmen sembilan-inci, cruise control, pendingin hawa automatik, penukar gear di stereng (untuk transmisi 6AT sahaja) dan tambahan dua tweeter menjadikan jumlah pembesar suara kepada enam.
SGX sebagai varian tertinggi menawarkan lebih nilai tambah dengan spoiler bawah di depan dan belakang, visor pintu serta pilihan warna luaran dua tona. Ia juga hadir dengan lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik dan pengecas telefon tanpa wayar.
GALERI: Suzuki Fronx di GIIAS 2025
The post Suzuki Fronx dilancar di Malaysia esok, menurut teaser yang dikeluarkan Naza – 1.5L hibrid ringkas appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



































