Operasi perkhidmatan bas Rapid Kuantan, yang dikendalikan oleh Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) sejak November 2012, akan ditamatkan sepenuhnya mulai 14 Disember 2025.
Walau bagaimana pun, bagi penduduk sekitar Kuantan yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti, jangan risau kerana Bas.My Kuantan akan menggantikannya. Ia dikendalikan oleh Sanwa Tours (M) Sdn Bhd (Sanwa Tours), di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Ku Jamil Zakaria, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus berkata, “Kami amat menghargai setiap penumpang yang telah bersama Rapid Kuantan sejak 2012. Dukungan masyarakat setempat menjadi semangat kami untuk terus memperkukuh sistem pengangkutan awam di Malaysia. Kami berharap orang ramai akan terus menyokong dan menggunakan perkhidmatan Bas.My Kuantan di bawah kendalian Sanwa Tours.”
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Rapid Kuantan telah membawa lebih 28 juta penumpang, dengan purata sekitar 6,000 penumpang setiap hari, dan pernah mencatat purata harian tertinggi melebihi 15,000 penumpang.
Bermula 15 Disember 2025, sebarang pertanyaan berkaitan operasi dan jadual perkhidmatan Bas.My Kuantan boleh dikemukakan terus kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui e-mel [email protected] atau talian 03-2603 6700.
The post Operasi bas Rapid Kuantan bakal ditamatkan mulai 14 Dis 2025 – digantikan dengan Bas.My Kuantan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















