Proton telahpun mendedahkan Saga MC3 2026 awal bulan ini dan model tersebut disahkan bakal ditawar dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium. Namun sehingga kini perincian spesifikasi untuk setiap varian belum diumumkan secara rasmi, dan media hanya didedahkan dengan dua varian tertinggi sedan ini iaitu Executive dan Premium.
Walau bagaimanapun hari ini kami menerima sebahagian brosur rasmi Saga MC3 yang tertiris sebelum pelancaran rasminya, dan ia mendedahkan maklumat berkenaan spesifikasi terperinci setiap varian sedan paling mampu milik terbaharu Proton ini.
Seperti yang diketahui sebelum ini, semua varian Saga MC3 menerima enjin baharu yang lebih besar, lebih berkuasa, lebih moden, lebih efisien dan telah menggunakan sistem timing chain iaitu enjin i-GT BHE15PFI 1.5 liter empat silinder DOHC DVVT berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm bagi menggantikan enjin 1.3L Campro sebelum ini.
Namun untuk transmisi, varian paling asas Standard dan juga pertengahan Executive diberikan kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT, manakala varian tertinggi Premium pula menerima transmisi CVT automatik. Proton mengumumkan versi dengan kotak gear 4AT mencapai penggunaan bahan api 5.1L/100 km, manakala dengan transmisi CVT pula menggunakan bahan api lebih cekap dengan hanya 4.9L/100 km.
Beralih ke spesifikasi luaran, semua varian Saga MC3 ini nampaknya menerima lampu hadapan LED projektor, lampu belakang LED, cermin sisi dengan lampu isyarat membelok dan juga antena sirip yu. Manakala untuk varian Standard, ia menerima rim aloi 14-inci dalam kemasan warna perak dan penutup but belakang hanya boleh dibuka sama ada menggunakan tuil dalam kabin atau menggunakan alat kawalan jauh.
Masuk ke kabin, Saga MC3 Standard tidak diberikan skrin infotainmen, tetapi masih datang dengan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin TFT 7-inci. Roda stereng rata di bawah dengan suis kawalan audio masih diberikan pada varian standard ini, tetapi hanya dengan material urethane biasa.
Tempat duduk pula hanya dibalut fabrik tanpa sebarang corak, ketinggian tempat duduk pemandu hanya boleh dilaras pada bahagian sokongan paha, manakala tempat duduk belakang datang dengan perehat kepala yang tidak boleh dilaras tetapi masih boleh dilipat untuk akses ke but belakang.
Saga MC3 Standard ini datang dengan butang penghidup enjin, namun untuk mengunci ia hanya boleh menggunakan kawalan jauh. Perincian lain yang turut diberikan pada varian paling murah ini adalah dua pembesar suara, satu port USB untuk data serta perincian keselamatan termasuk penderia undur belakang dan juga dua beg udara.
Beralih ke varian pertengahan Executive, lampu hadapan projektor LED ditambah dengan jalur LED untuk fungsi lampu nyalaan siang dan juga diberikan fungsi lampu automatik dan lampu Follow-me-home. Varian ini juga boleh dikenali pada sebelah luar menerusi rim aloi 15-inci dalam kemasan perak dan juga butang kunci pada pembuka pintu sebelah pemandu.
Dalam kabin, bermula varian Executive ini ia menerima skrin infotainmen 9-inci yang turut menyokong aplikasi Android Auto dan Apple Carplay hubungan tanpa wayar. Manakala untuk tempat duduk, ia masih hanya dibalut dengan fabrik, tetapi dibezakan dengan tekstur ‘ombak pantai’ yang diberikan pada sebelah tengah. Dan pada sebelah belakang, ia diberikan tempat duduk dengan perehat kepala boleh laras.
Kembali semula pada maklumat yang didedahkan oleh borsur yang tertiris ini, varian Executive turut menerima perincian lain termasuk empat pembesar suara, tambahan dua lagi port USB untuk mengecas dan juga lampu untuk ruang kargo but belakang. Manakala untuk keselamatan, ia ditambah dengan penderia parkir hadapan dan juga kamera undur.
Untuk varian tertinggi Saga MC3 Premium pula, ia bukan sahaja varian dengan lebih ‘jajan’, malah juga nampak paling sporty pada bahagian luaran dengan diberikan skirt sisi, bar lampu LED yang merentangi sepenuhnya penutup but belakang dan juga rim aloi 15-inci dalam kemasan dua-tona.
Selain itu, cermin sisi Saga MC3 Premium ini juga datang dengan fungsi lipat automatik, dan pada penutup but belakang ia turut diberikan satu suis pembuka.
Manakala pada sebelah dalam, Saga MC3 Premium ini diberikan upholsteri leatherette pada tempat duduk dan roda stereng, tempat duduk pemandu dengan larasan ketinggian sepenuhnya, tempat duduk belakang dengan perehat kepala boleh laras serta fungsi turun automatik pada cermin berkuasa sebelah pemandu.
Varian Premium Saga MC3 ini juga merupakan varian yang paling selamat kerana diberikan enam-beg udara, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan sembilan fungsi iaitu Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Kawalan Lampu Suluhan Tinggi Pintar (IHBC) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA).
Lima warna badan ditawarkan untuk Saga 2026 ini termasuk dua warna baharu iaitu Deep Marine Blue dan Space Grey, serta tiga lagi warna sedia ada terdiri dari Ruby Red, Armour Silver dan Snow White. Nampaknya semua warna ini boleh dipilih untuk semua varian, tanpa warna eksklusif ditetapkan untuk varian tertentu.
Tempahan bagi Saga MC3 ini telah pun dibuka bermula awal minggu ini, di mana harga anggarannya juga telah diumumkan – bermula RM40,000 untuk varian asas Standard sehingga RM50,000 untuk varian tertinggi Premium. Pelancaran rasmi bagi model ini dijangka akan dibuat bulan ini juga.
Kami sudahpun berpeluang membelek dan memandu uji model ini di Tanjong Malim beberapa minggu yang lalu – perincian penuh model ini boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan ulasan pandu uji ringkas pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.
GALERI: Proton Saga MC3 Premium 2026
GALERI: Proton Saga MC3 Executive 2026
GALERI: Gambar rasmi Proton Saga MC3 2026
GALERI: Slaid pembentangan Proton Saga MC3 2026
The post Proton Saga MC3 2026 – spesifikasi varian Standard, Executive dan Premium tertiris, RM40k hingga RM50k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















































































































































































































































































































































































