Pro-Net mengumumkan bahawa EV paling murah di Malaysia iaitu Proton eMas 5 yang baru dilancarkan akhir bulan lalu kini telah ditempah sebanyak 10,000 unit, manakala untuk eMas 7 ia kekal sebagai EV paling laris pada pasaran tempatan selama 10-bulan berturut-turut apabila mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 7,413 unit (6,954 unit di pasaran tempatan dan 459 unit eksport) setakat 31 Oktober 2025.

“Kami benar-benar menghargai sokongan padu yang terus diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap Proton eMas 7 dan kini Proton eMas 5,” kata CEO Pro-Net, Zhang Qiang.

“Setiap tempahan yang diterima melambangkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kami untuk menawarkan Proton eMas 5 dengan kualiti dan piawaian tertinggi. Sebagai pengeluar automotif nasional, kami akan terus komited untuk memastikan mobiliti elektrik menjadi lebih mudah diakses, boleh dipercayai dan relevan untuk semua,” tambahnya.

Proton eMas 5 capai 10,000 tempahan, eMas 7 EV no.1 di Malaysia, terjual 7,413 unit sehingga 31 Okt 2025

Menurut Pro-Net lagi, majoriti tempahan eMas 5 diterima dari pelanggan dari Lembah Klang, diikuti oleh bahagian Selatan dan Utara Semenanjung Malaysia.

Proton eMas 5 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM59,800 bagi varian asas Prime, dan RM72,800 untuk varian tertinggi Premium, namun sempena pelancarannya EV ini diberikan diskaun tambahan sebanyak RM3,000 istimewa untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025, menjadikan varian Prime dijual pada harga RM56,800 dan varian Premium pula pada harga RM69,800.

Proton eMas 5 ini juga merupakan model pertama Proton yang ditawarkan sebagai sebuah model pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Untuk varian Premium, motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm, dipacu oleh bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj.

Proton eMas 5 capai 10,000 tempahan, eMas 7 EV no.1 di Malaysia, terjual 7,413 unit sehingga 31 Okt 2025

Manakala bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj.

Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh, manakala eMas 5 Prime pula kelajuan maksimanya dihadkan pada 125 km/j dan boleh bergerak sejauh 225 km (WLTP) dengan satu cas penuh.

The post Proton eMas 5 capai 10,000 tempahan, eMas 7 EV no.1 di Malaysia, terjual 7,413 unit sehingga 31 Okt 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts