Dalam acara BYD Tech Discovery 2025 yang bakal berlangsung di Plaza Arkadia minggu ini, boleh dijangkakan ada model baru BYD yang akan dipertontonkan. Ini susulan daripada imej bayangan yang dimuat naik oleh BYD Sime Motors yang memperlihatkan sebuah trak pikap.
Ini tidak lain ialah model BYD Shark 6, yang pertama kali dipertontonkan di rantau ini ketika Bangkok Motor Show tahun ini. Model yang bakal ditunjuk ini tentunya dalam versi plug-in hybrid memandangkan ini satu-satunya versi yang ada ketika ini. Trak pikap ini masih dikecualikan daripada cukai di Malaysia, jadi mungkin versi CBU akan diperkenalkan dahulu sebelum model CKD-nya nanti.
BYD Shark 6 mempunyai ukuran 5,457 mm panjang, 1,917 mm lebar, 1,925 mm tinggi dengan jarak roda 3,260 mm — saiz yang hampir sama dengan Ford Ranger, dengan Shark 6 lebih tinggi.

Sistem PHEV yang digunakan dikenali sebagai Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid, sama dengan yang digunakan oleh Bao Leopard 5. Ia menampilkan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menjana sebanyak 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 260 Nm tork.
Fungsi utamanya adalah sebagai generator bagi bateri BYD Blade lithium iron phosphate (LFP) 29.58-kWh yang menyokong pengecasan AC hingga 7 kW. Untuk pengecasan pantas DC pula ia boleh mencapai 55 kW, dan mengecas 30%-80% SoC dalam masa 25 minit. Fungsi vehicle-to-load (V2L) boleh menyediakan kuasa hingga 6 kW.

Bateri berkenaan menyalurkan kuasa kepada dua motor elektrik. Motor bahagian depan menjana sebanyak 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm. Unit di belakang pula menyediakan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 340 Nm, menjadikan output keseluruhannya 436 PS (430 hp atau 321 kW) dan 650 Nm.
Ini angka yang lebih besar berbanding yang dijana oleh Ford Ranger Raptor V6, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat. Spesifikasi untuk pasaran Malaysia juga tidak akan lari jauh daripada apa yang ditawarkan di Thailand.
The post BYD Shark 6 akan dipertonton di Malaysia — trak pikap PHEV di acara BYD Tech Discovery 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































