Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan bahawa sebahagian Jalan Masjid India yang ditutup sejak pagi semalam telah pun dibuka semula. Semalam, satu kejadian mendapan jalan telah berlaku kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Bonus, berhadapan premis Bombay Jewellery, hingga membabitkan laluan dari Lorong Masjid India 4 di sebelah masjid ditutup.
Siasatan mendapati mendapan berlaku secara setempat yang menandakan terdapat gangguan pada kestabilan struktur turapan di kawasan berkenaan, kata DBKL, menurut laporan Bernama.
Kerja pembaikan jalan yang terjejas terus dilaksanakan dan selesai pada 6 petang semalam. Walau bagaimana pun, DBKL akan meneruskan pemantauan rapi serta melaksanakan pemeriksaan dan pengimbasan lanjut di lokasi dan kawasan sekitar.
Tambahnya lagi, keselamatan orang awam menjadi keutamaan, dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama serta pematuhan arahan keselamatan sepanjang kerja pemulihan dijalankan.
Ini bukan insiden pertama berlaku di kawasan berkenaan. Pada 24 Ogos tahun lalu, seorang wanita warga India terjatuh ke lubang sedalam lapan meter berikutan tanah mendap di laluan pejalan kaki di Jalan Masjid India dan sehingga kini jasadnya belum dijumpai.
The post Jalan Masjid India kembali dibuka, kerja pembaikan jalan akibat mendapan selesai – DBKL appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















