Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) kini telah pun dibuka dan pastinya dapat memberikan sedikit kelegaan buat pengguna lebuhraya khususnya di kawasan pembangunan oleh Eco World Sdn. Bhd dan sekitar Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor.
Majlis perasmian persimpangan tersebut disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur ini yang terletak di KM7.50 di antara Persimpangan Bertingkat Ijok dan Persimpangan Bertingkat Puncak Alam, Lebuhraya LATAR dilaksanakan oleh Eco World Sdn. Bhd. bagi mewujudkan akses baharu kepada pembangunan bercampur di Eco Business Park V dan Eco Grandeur, Mukim Ijok, Daerah Kuala Selangor.

Menurut Alexander, permohonan cadangan sambungan akses ini telah dimohon oleh Eco World dan mendapat kelulusan Kementerian Kerja Raya pada November 2022. Skop pembinaan ini yang diluluskan merangkumi persimpangan bertingkat, plaza tol dan kemudahan hentian sebelah di sebelah plaza tol. Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur ini telah siap dibina dengan jajaran sepanjang kira-kira 3 km.
“Dengan adanya infrastruktur baharu ini, masa perjalanan daripada kawasan sekitar Eco Grandeur ke Kuala Lumpur atau ke Kuala Selangor menjadi lebih pantas, sekaligus menawarkan laluan alternatif yang amat diperlukan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan dan komersial sepanjang laluan sedia ada.
“Persimpangan ini merupakan akses baharu yang menghubungkan Eco Business Park V iaitu Kawasan Perindustrian berkeluasan 769 ekar dan Eco Grandeur yang merupakan Perbandaran Kediaman dan Komersial Berintegrasi seluas 1,400 ekar. Selain itu juga Persimpangan ini juga menghubungkan ke kawasan-kawasan sekitar seperti Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor,”katanya.

Di samping itu, katanya jajaran baharu ini dapat menyuraikan trafik sedia ada yang sesak sekian lama terutamanya di sepanjang Jalan Meru Tambahan (JMT) dan Persiaran Mokthar Dahari.
“Plaza Tol Eco Grandeur menyediakan 10 lorong (masing-masing lima lorong kedua-dua arah) setelah mengambilkira kapasiti kenderaan yang akan meningkat di mana jajaran baharu ini merupakan laluan alternatif ke Kuala Lumpur dan Kuala Selangor.
“Saya percaya, selain menyuraikan trafik, pembukaan Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur ini juga akan membawa manfaat sosio ekonomi yang besar sejajar pembukaan akses Kuala Lumpur ke Kuala Selangor, yang turut menawarkan aksesibiliti yang lebih meluas kepada pengguna dari Eco Business Park V dan Eco Grandeur kepada lain-lain rangkaian lebuhraya seperti Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Lebuhraya Damansara – Shah Alam (DASH) dan jajaran NKVE dan Lebuhraya Utara-Selatan,” katanya lagi.
The post Persimpangan Eco Grandeur di LATAR dibuka – akses mudah ke Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















