Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bakal melancarkan sebuah lagi SUV selain GLC200 4Matic yang ditunjuk dalam iklan teaser minggu lalu. Bakal tiba di sini dalam penawaran sebagai GLE400e 4Matic dengan EQ Hybrid Technology yang merupakan model plug-in hybrid bagi GLE generasi keempat (V167) facelift.
Varian baru ini akan menjadi tambahan kepada barisan GLE lain yang sedia ada di sini — GLE450 4Matic CKD dan juga Mercedes-AMG GLE63S 4Matic+, dengan model CKD tersebut dijual dengan harga RM544,888 atas jalan betul termasuk insuran.
GLE400e dilengkapi enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol yang menjana sebanyak 252 PS (248 hp atau 185 kW) dan 400 Nm. Ia dibantu oleh sebuah motor elektrik dengan janaan 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 440 Nm, membolehkan output keseluruhan sebanyak 381 PS (375 hp atau 280 kW) dan 600 Nm. Ini dipadankan pula dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda 4Matic.

Bateri lithium-ion 31 kWj yang melengkapinya memberikan jarak elektrik 108 km WLTP. Pengecasan AC pula sehingga 11 kW, dan membolehkan SoC bateri dari 10-100% dalam masa 2.5 jam. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 60 kW, yang membolehkan bateri mencapai SoC 10-80% dalam masa 29 minit.
Sama seperti GLE450 4Matic yang dijual ketika ini, GLE400e 4Matic akan datang juga dijangka diberi pakej kemasan AMG Line, seperti yang ditunjuk dalam imej teaser-nya.
Mercedes-Benz GLE450 FL 4Matic AMG-Line 2024 di Malaysia
The post Mercedes-Benz GLE400e 4Matic bakal dilancar di Malaysia — SUV <em>plug-in hybrid</em> hingga 108 km jarak EV appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















































































































































































