Honda memperkenalkan model baru CB1000GT, sebuah motosikal sport-touring serba lengkap di pameran EICMA 2025 di Itali. Direka untuk keselesaan perjalanan jarak jauh, CB1000GT hadir dengan pelbagai teknologi moden dan prestasi enjin yang mengagumkan.
Nadi kepada jentera ini ialah enjin empat silinder sebaris berkapasiti 1,000 cc, yang diambil daripada model CBR1000RR Fireblade keluaran 2017. Enjin ini ditala untuk penyampaian kuasa yang lancar, menghasilkan 147.6 hp pada 11,000 rpm dan 102 Nm tork pada 8,750 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac assist and slipper, serta quickshifter sebagai ciri standard.
Dengan tangki bahan api berkapasiti 21 liter, Honda mendakwa CB1000GT mampu menempuh jarak lebih 340 kilometer bagi setiap isian penuh. Berat keseluruhan motosikal ini ialah 229 kilogram, dengan agihan berat 51:49 antara bahagian hadapan dan belakang bagi memberikan kawalan stereng yang lebih ringan dan stabil.
Dari segi teknologi, CB1000GT dilengkapi sistem throttle-by-wire dan Inertial Measurement Unit (IMU) enam paksi yang membolehkan penyediaan empat mod tunggangan — setiap satu dengan tetapan kuasa enjin (EP), engine braking (EB) dan kawalan cengkaman (HSTC) tersendiri. Penunggang juga boleh memilih tetapan sendiri melalui suis di pemegang kiri dan skrin TFT lima inci.
Sistem suspensi pula menggunakan Showa Electronically Equipped Ride Adjustment (Showa-EERA
) yang menawarkan pelarasan elektronik automatik mengikut keadaan tunggangan. Suspensi belakang boleh dilaras untuk pra beban secara manual ketika motosikal sedang bergerak.
Tugas membrek diserahkan kepada dua cakera hadapan 310 mm dengan angkup empat piston jenis radial, manakala di belakang terdapat cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston. Ciri Cornering ABS dan cruise control turut disediakan sebagai standard.
Honda juga membekalkan pelbagai kelengkapan standard seperti kotak sisi kiri dan kanan, pelindung tangan, pemanas pemegang, serta sistem Smart Key untuk operasi tanpa kunci. Antara ciri lain termasuk lampu isyarat automatik, soket pengecas USB-C, sambungan Bluetooth untuk iOS dan Android, penghadang angin boleh laras serta tongkat tengah.
Ketinggian tempat duduk CB1000GT ditetapkan pada 825 mm, dengan posisi tunggangan tegak bagi keselesaan jarak jauh. Honda turut menawarkan tiga pakej aksesori rasmi Hondaline — Comfort Pack (tempat duduk lebih selesa dan cermin hadapan tinggi), Sports Pack (penutup bawah enjin, pelindung enjin, jalur roda dan pelekat tangki), serta Urban Pack (kotak belakang 50 liter, tapak pembawa dan sistem penggera).
The post Honda CB1000GT didedah di EICMA 2025 – sport touring 1,000 cc 148 hp dengan suspensi elektronik appeared first on Paul Tan’s Automotive News.









































