Selepas dilancarkan di China Mei lalu, Nissan N7 kini membuat penampilan di Japan Mobility Show 2025. Seperti yang diumumkan oleh syarikat itu sebelum ini, sedan elektrik berkenaan bukan hanya untuk pasaran China, tetapi turut akan dieksport ke pasaran antarabangsa.
Nissan N7 ini dibangunkan berasaskan Dongfeng 007 (atau eπ 007/Yipai 007) hasil kerjasama antara Nissan dengan pengeluar automotif China, Dongfeng. Ia menggunakan platform Quantum Architecture No. 3 dan di China ditawarkan dalam lima varian iaitu 510 Air, 510 Pro, 625 Pro, 510 Max dan 625 Max. Harga jualan bermula dari 119,900 hingga 149,900 yuan, bersamaan kira-kira RM70,000 hingga RM88,000.
Kesemua varian dilengkapi bateri jenis lithium iron phosphate (LFP). Varian dengan kod ‘510’ menggunakan bateri 58 kWh dan motor elektrik di hadapan yang menghasilkan 218 PS (215 hp atau 160 kW) serta tork 305 Nm. Bagi varian ‘625’, ia hadir dengan bateri 73 kWh dan motor elektrik lebih berkuasa dengan 272 PS (268 hp atau 200 kW), namun kekal dengan tork maksimum 305 Nm.
Bergantung kepada varian, jarak perjalanan mengikut kitaran CLTC adalah antara 510 km hingga 635 km. Varian 510 Max menawarkan jarak paling pendek manakala 625 Pro mencatat jarak paling jauh. Semua varian menyokong pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dalam tempoh hanya 19 minit. Nissan N7 juga dilengkapi sistem Vehicle-to-Load (V2L) yang mampu membekalkan kuasa 6.6 kW bagi kegunaan peralatan elektrik luaran.
Dari segi keselamatan, semua varian didatangkan dengan ciri amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik dan sistem pencegahan keluar lorong. Bagi varian tertinggi ‘Max’, ia ditambah dengan fungsi seperti bantuan parkir, bantuan navigasi, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, brek automatik, amaran titik buta serta amaran pelanggaran belakang. Ciri kawalan kelajuan adaptif hanya bermula dari varian 510 Pro ke atas, manakala 510 Air menggunakan sistem pasif.
Kelengkapan lain yang ditawarkan termasuk tempat duduk hadapan larasan kuasa, penyaman udara dua zon dengan corong belakang, pad pengecas tanpa wayar 50W, paparan digital 10.25 inci, skrin infotainmen tengah 15.6 inci, sistem audio dengan sehingga 12 pembesar suara bersama subwoofer 10 inci serta enam beg udara.
Dari segi saiz, Nissan N7 merupakan sedan bersaiz besar dengan panjang 4,930 mm, lebar 1,895 mm, tinggi 1,484 mm dan jarak antara roda 2,915 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih besar daripada Toyota Camry generasi semasa, malah memiliki jarak roda yang lebih panjang.
The post Nissan N7 dipamer di Jepun – sedan EV guna asas dari Dongfeng, jarak gerak CLTC hingga 635 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























