Hatchback terakhir Proton iaitu Iriz dikhabarkan sudahpun dihentikan produksinya pada September lalu. Namun ada khabar angin mengatakan bahawa platform AMA yang menjadi asas kepada Proton Saga MC3 yang telah didedahkan baru-baru ini direka sebagai platform modular, membolehkan ia turut menjadi asas kepada model-model lain seperti hatchback, MPV dan juga SUV.
Jadi ada kemungkinan kita boleh lihat Saga akan dihasilkan dalam versi Hatchback bagi menggantikan tempat Iriz? Macam mana rupanya nanti? Ini dia bayangan digital Proton Saga Hatchback yang dihasilkan oleh pakar manipulasi automotif tempatan, Theophilus Chin.
Bagi menghasilkan bayangan ini, Theo sebenar telahpun menggunakan bahagian kabin hingga ke belakang Honda City Hatchback yang dipadankan pada ‘kepala’ Saga MC3. Jarak roda Saga ini tidak diubah, sebaliknya potongan belakang City berkenaan disesuaikan dengan jarak roda berkenaan dan ketinggian asal Saga.
Bentuk garis-garis pada pintu juga dibuat agar menyerupai pintu sebenar Saga. Manakala pada bahagian belakang Theo turut membawa lampu LED Saga dari sedan untuk menggantikan lampu City Hatchback agar ia kelihatan seperti Saga Hatchback sebenar.
Sekiranya Saga Hatchback ini benar-benar dihasilkan kelak, ia masih boleh berhadapan terus pesaing Iriz iaitu Perodua Myvi kerana hadir dengan enjin i-GT BHE15 PFI 1.5 liter empat silinder NA baharu berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear automatik CVT dan 4AT.
Bagi versi CVT, ia diumumkan mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9 liter/100 km, hampir dengan kadar yang mampu dicapai oleh Myvi 1.5L iaitu 4.7 liter/100 km. Saga baharu ini juga tampil dengan perincian keselamatan dipertingkat dengan enam-beg udara.
Ia juga datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), tetapi masih tidak diberikan fungsi cruise control adaptif dan sebarang kawalan autonomi stereng kekal lorong, membuatkan sistem tersebut hanya berada pada Tahap 1, berbanding Myvi yang diiktiraf mempunyai sistem ADAS Tahap 2.
Sekiranya Proton benar-benar menghasilkan Saga Hatchback ini, adakah anda rasa ia adalah alternatif yang baik dan mampu mengurangkan penguasaan Myvi dalam pasaran hatchback segmen-B tempatan?
Berbalik pada Saga MC3 sedan, model ini masih lagi belum dilancarkan namun kami sudahpun berpeluang membelek dan memandu uji model ini di Tanjong Malim beberapa minggu yang lalu – perincian penuh model ini boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan ulasan pandu uji ringkas pula boleh anda baca pada PAUTAN INI. Proton akan mula membuka tempahannya pada pukul 7.30 malam ini, dan mungkin harga anggarannya turut akan diumumkan.
The post Proton Saga MC3 dibayang dalam versi hatchback – platform AMA dikhabarkan modular, ada MPV, SUV? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















