Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan penurunan harga kad konsesi 30 hari untuk perkhidmatan BAS.MY daripada RM50 kepada RM30 sebulan di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Menteri MOT, Anthony Loke berkata penurunan harga tersebut adalah bagi membolehkan rakyat menikmati perjalanan tanpa had dengan kos serendah RM1 sehari. Selain meringankan beban rakyat, ia juga dijangka meningkatkan jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan BAS.MY di seluruh negara, laporan Bernama.

“Inisiatif ini hanya terpakai untuk warganegara Malaysia sahaja, manakala penumpang bukan warganegara masih perlu membayar tambang penuh. Penurunan harga pas ini akan diperluaskan ke seluruh negeri yang mempunyai perkhidmatan BAS.MY supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat yang sama,” katanya dalam majlis pelancaran BAS.MY Johor Bahru hari ini.

Harga kad konsesi 30 hari BAS.MY diturunkan dari RM50 ke RM30 sebulan berkuatkuasa serta merta

Manakala untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas berusia 60 tahun ke atas, pelajar sekolah dan mahasiswa pula layak menikmati tambang percuma melalui Kad Konsesi BAS.MY. Kesemua perkhidmatan BAS.MY turut menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai yang membolehkan pengguna membuat bayaran menggunakan kad debit/kredit atau e-wallet melalui imbasan kod QR.

Buat masa ini, perkhidmatan BAS.MY telah beroperasi di Kangar, Kota Setar, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu serta Kuching, Sarawak dan akan beroperasi mengikut fasa di Kuantan, Pahang pula.

Dilaporkan bahawa seramai 49,611 penumpang telah menggunakan perkhidmatan bas percuma BAS.MY setakat Ogos tahun ini. Warga emas merupakan golongan paling ramai yang menggunakan perkhidmatan bas ini iaitu sebanyak 78%, diikuti pelajar sekolah (13%), orang kurang upaya (6%) dan penuntut universiti (3%). Johor Bahru mencatatkan jumlah pengguna kad konsesi BAS.MY tertinggi iaitu seramai 16,832 orang, diikuti Kuching dengan 10,215 orang, Ipoh (7,304 orang), Seremban (6,310 orang), dan Melaka (4,668 orang

The post Harga kad konsesi 30 hari BAS.MY diturunkan dari RM50 ke RM30 sebulan berkuatkuasa serta merta appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts