Proton hari ini mengumumkan bahawa Dato’ Abdul Rashid Musa kini kembali berkhidmat di syarikat itu dengan dilantik sebagai Timbalan CEO Proton. Tugas berkenaan telahpun mula dirangkul bermula pada 1 November lalu, dan beliau akan melapor terus kepada CEO Proton, Dr. Li Chunrong.
Dato’ Abdul Rashid merupakan individu yang berpengalaman besar dalam industri automotif di mana beliau telah bertugas dengan Proton selama 30 tahun dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembangunan produk sehingga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Teknikal Proton, serta terlibat dengan pembangunan pelbagai model-model yang dibangunkan sepenuhnya oleh Proton.
Jawatan terakhir beliau di Proton adalah Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, di mana beliau turut terlibat ketika pelancaran Proton X70 pada tahun 2018. Sebelum ‘sirih pulang ke gagang’, Abdul Rashid menyertai UMW Holdings Berhad dan menguruskan beberapa portfolio utama melibatkan mobiliti, inovasi serta pembangunan industri mampan.
“Proton berbesar hati menyambut semula Dato’ Abdul Rashid Musa. Pengalaman luas beliau dalam industri automotif dan pengetahuannya mengenai operasi syarikat akan memberi nilai penting dalam menyokong agenda transformasi Proton serta memperkukuh pertumbuhan masa depan. Pada masa sama, kami ingin merakamkan penghargaan kepada Ainol Azmil yang telah menjalankan tugas sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dari 10 Jun hingga 31 Oktober tahun ini,” kata Dr Li Chunrong.
Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan, dengan pelantikan ini, Ainol Azmil yang memegang jawatan pemangku Timbalan CEO selepas En. Roslan Abdullah melepaskan jawatan berkenaan akan kembali kepada peranan asal beliau sebagai Naib Presiden, Strategi Korporat, selain terus menguruskan bahagian Perolehan Teknikal Kumpulan Porton sebagai Pengarah Kanan.
“Syarikat merakamkan ucapan terima kasih atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan kelangsungan operasi
pengurusan sepanjang tempoh tersebut,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.
The post Dato’ Abdul Rashid Musa kembali ke Proton, dilantik sebagai Timbalan CEO ganti tempat Ainol Azmil appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















