Bukanlah rahsia bahawa Toyota sedang dalam proses mempersiapkan pengenalan barisan enjin generasi baru syarikat itu. Paling tidak, sejak dua tahun lalu berita tentang enjin baru 1.5 liter dan juga unit dengan prestasi lebih tinggi 2.0 liter turbo tersebut telah diperkatakan.
Pagi ini, dalam satu taklimat tertutup bersama media Asia sempena Japan Mobility Show 2025, Toyota sekali lagi memberi penekanan terhadap arah tuju dan gambaran lebih luas terhadap perancangan masa depan jenama itu.
Presiden, Janaan Kuasa Syarikat, Takashi Uehara menjelaskan bahawa kedua-dua unit enjin itu akan menjadi unit utama yang akan ditawarkan sebagai “jantung” model-model Toyota akan datang. “Ia bahkan direka untuk mudah diadaptasi dengan kepelbagai sumber tenaga baru atau bahan api neutral karbon, yang digunakan di pasaran-pasaran yang berbeza,” jelasnya dengan merujuk antaranya kepada bahan api seperti hidrogen dan etanol.

Hal ini adalah selari dengan apa yang disebut sebagai “Multipathway Approach” terhadap komponen janaan kuasa kenderaan yang bakal dihasilkan pada masa hadapan. Ini bermaksud, Toyota akan memanfaatkan semua sumber tenaga yang ada tanpa memberi tumpuan kepada hanya satu pendekatan (misalnya, janaan elektrik atau EV semata-mata) dalam membangunkan rangkaian teknologi syarikat itu.
Bagi barisan model yang akan ditawarkan untuk pasaran global yang berbeza-beza (tertakluk kepada kencenderungan setiap pasaran), Toyota mempunyai enam pilihan semuanya: iaitu kenderaan BEV, PHEV, HEV, ICE (enjin biasa), H2 (hidrogen) dan FCEV. Maka, enjin generasi baru berkenaan dibangunkan agar boleh digunakan dan menampung semua keperluan bahan api atau pendekatan janaan yang dinyatakan ini.
Menurut Takashi, bagi unit 1.5 liter empat-silinder, enjin tersebut mampu menjana sekitar 70 kW kuasa dan 120 Nm tork, dengan tetapan yang mirip seperti kitaran Atkinson yang ada ketika ini. Ia boleh digandingkan dengan motor hibrid yang menjana sekitar 30 kW, yang menjadikan output akhir yang mampu dicapai adalah lebih daripada 100 kW. Enjin ini bahkan boleh digunakan untuk tetapan dengan turbo.
Bagi unit 2.0L turbo empat-silinder yang lebih berprestasi pula, ia mampu menjana lebih daripada 400 PS dan 500 Nm. Enjin ini akan mengisi sebagai jantung bagi model-model dengan aspirasi sport serta prestasi dalam barisan kendearan Toyota yang akan datang — seperti yang pernah ditunjukkan oleh Toyota Yaris M Concept awal tahun ini.
Dengan dua enjin inilah Toyota akan menyesuaikan setiap modelnya — mengikut keperluan pasaran ia dijual — dengan keperluan dan tujuan penawaran setiap model akan datang: dari elektrifikasi hinggalah kepada prestasi tinggi, semuanya akan dirangkum melalui enjin tersebut. Jika ini menjadi kenyataan, kelihatan seperti penawaran enjin daripada Toyota selepas ini akan menjadi lebih ringkas, tetapi hadir dengan kepelbagaian tetapan.
The post Enjin 1.5L dan 2.0L turbo generasi baru Toyota boleh diadaptasi untuk tujuan elektrifikasi hingga prestasi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















