Dengan banyak pilihan kereta baharu, kita di Malaysia kini sudah mula menghadapi masalah lambakan kereta terpakai. Masalah ini bukan hanya menjejaskan pengedar-pengedar kereta terpakai biasa, malah ia turut dihadapi oleh divisi rasmi kereta terpakai kendalian pengeluar-pengeluar kenderaan seperti Pre-Owned Vehicles (POV) milik Perodua, yang menjual kereta-kereta terpakai yang diperolehi dari proses tukar beli kereta baharu dari pelanggan.

Bagi menangani masalah ini, Perodua telah mula mengeksport kereta-kereta terpakai tersebut ke pasaran luar. “Kami telah mula mengeksport kereta-kereta terpakai ke negara lain. Kami telah mulakan dengan Bangladesh dan kami sedang membuat kajian pasaran Kenya dan Mozambique serta negara-negara lain untuk pasaran seterusnya,” kata presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam satu sesi temubual ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2025 di Tokyo.

“Ini bagi memastikan Perodua terpakai dapat disalurkan ke negara lain dan pada masa yang sama kereta baharu dapat dijual. Ini akan membantu kepadatan kereta di Malaysia, supaya ia tidak terlalu tepu dan jumlah keseluruhan industri (TIV, atau jualan kereta baharu) dapat dikekalkan,” jelasnya.

Perodua sudah mula eksport kereta terpakai ke Bangladesh, diikuti Kenya dan Mozambique selepas ini

Malaysia kini merupakan antara negara dengan kepadatan kenderaan per kapita di dunia. Walaupun lebih kecil dari Thailand, Malaysia sudah mula memintas TIV Thailand pada 2023, dan jurang perbezaan tersebut semakin besar pada 2024 dengan jumlah TIV yang mencecah 816,747 unit, hampir kepada Indonesia yang mempunyai penduduk sekitar 300 juta orang.

Dan penyumbang TIV paling besar di Malaysia sudah tentulah Perodua sendiri, yang telah menghasilkan kenderaan sebanyak 358,102 unit tahun lalu – rekod tahunan tertinggi dalam sejarahnya, mengatasi angka 330,325 unit yang direkodkan tahun sebelumnya.

Rancangan Perodua untuk mengeksport kereta-kereta terpakai ini keluar sebenarnya sudah diumumkan sejak 2021. “Berdasarkan pelan jangka masa panjang untuk kenderaan terpakai, ada banyak kenderaan seperti ini di Malaysia. Salah satu strategi kami adalah melihat kepada pelbagai pilihan, sama ada kami boleh mengeksport kenderaan terpakai ini ke negara lain yang memerlukan kereta.

Perodua sudah mula eksport kereta terpakai ke Bangladesh, diikuti Kenya dan Mozambique selepas ini

“Pada masa ini, kami mempunyai pasukan yang sedang membuat kajian di salah satu negara yang kami tidak boleh beritahu sekarang. Mereka sedang melakukan kajian untuk pelaksanaannya dan kami telah menghantar beberapa buah kereta ke sana untuk kaji selidik pasaran, penerimaan harga dan sebagainya,” kata Zainal ketika itu.

Kami diberitahu permintaan terhadap kereta-kereta terpakai dari Perodua ini di Bangladesh agak baik. Zainal juga menyatakan baru-baru ini syarikatnya turut telah mengekpsport Bezza (baharu, bukan terpakai) ke Papua New Guinea, dan sedan itu juga mendapat sambutan yang baik.

“Baru-baru ini, kami telah mengeksport Bezza ke Papua New Guinea. Bezza digunakan sebagai kereta polis di sana, dan ia juga digunakan dalam sambutan hari kebangsaan mereka. Itu sesuatu yang sangat membanggakan – negara seperti Papua New Guinea menerima Perodua sebagai jenama yang dipercayai,” kongsi Zainal.

The post Perodua sudah mula eksport kereta terpakai ke Bangladesh, diikuti Kenya dan Mozambique selepas ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts