Nissan mengumumkan kemunculan semula Elgrand, model MPV mewah yang bakal dilancarkan secara rasmi di Jepun pada musim panas tahun depan. Buat masa ini, model generasi keempat itu sedang dipertontonkan di Japan Mobility Show di Tokyo, menampilkan rekaan yang elegan dan moden — tidak seberani konsep Hyper Tourer, namun tetap menarik perhatian.
Reka bentuk Elgrand baru ini membawa identiti yang disebut oleh Nissan sebagai “Timeless Japanese Futurism”, dengan bahagian hadapan yang benar-benar unik. Gril hadapannya diinspirasikan daripada corak tradisional Kumiko Jepun, digabungkan secara harmoni dengan rekaan lampu depan yang futuristik. Warna-warna seperti Fuji Dawn dan Shigoku pula menonjolkan semangat Jepun yang kuat pada model ini.
Bahagian sisi tampil ringkas, namun bentuk belakangnya yang sedikit melengkung ke dalam memberikan rupa seimbang dengan lampu belakang lebar penuh serta spoiler bumbung kecil — kemas dan moden tanpa berlebihan.
Di sebalik badannya, Elgrand generasi keempat ini menggunakan sistem e-Power siri hibrid generasi ketiga Nissan bersama sistem pacuan elektrik semua roda e-4orce yang dipertingkatkan. Ia berkongsi asas teknologi yang sama dengan X-Trail e-Power, menggunakan enjin 1.5 liter turbo tiga silinder sebagai penjana kuasa, bersama sistem elektrik “lima dalam satu” yang menggabungkan motor, generator, inverter, increaser, reverter serta motor elektrik tambahan di belakang.
Walaupun angka rasmi masih belum diumumkan, X-Trail e-Power dilengkapi motor depan dengan 204 PS/330 Nm, motor belakang 136 PS/195 Nm, dan bateri 1.8 kWh — jadi Elgrand dijangka mempunyai spesifikasi hampir sama. Nissan menjelaskan bahawa motor belakang Elgrand bukan sahaja menstabilkan kenderaan ketika pecutan dan membrek, tetapi juga membantu ketika membelok, manakala suspensi dinamik pintar berfungsi mengurangkan olengan badan.
Masuk ke kabin, suasananya benar-benar mewah. Stereng dua cabang, kemasan kulit dan kayu, corak Kumiko pada panel pintu serta tempat duduk dan lampu suasana 64 warna menaikkan lagi aura premium. Bahagian hadapan menampilkan dua skrin 14.3 inci, dengan skrin tambahan untuk penumpang belakang.
Reka bentuk papan pemuka juga unik, dengan corong udara sisi tinggi, corong tengah rendah (dilengkapi kamera dalaman di antara keduanya), serta barisan butang kawalan pendingin hawa. Di bawahnya terdapat kawalan gear, suis mod EV dan e-Pedal untuk pemanduan satu pedal, serta dua pengecas telefon tanpa wayar.
Sistem bunyi pula dibekalkan oleh 22 pembesar suara Bose, termasuk pada penyandar kepala tempat duduk depan, memberikan pengalaman audio kelas premium. Terdapat juga tempat duduk Ottoman untuk penumpang depan dan kerusi kapten “zero-gravity” di baris kedua. Di belakang konsol tengah terdapat soket kuasa serta pemegang misteri yang dipercayai mungkin adalah pintu peti sejuk mini atau ruang simpanan tambahan.
Dari segi keselamatan, Elgrand dilengkapi sistem ProPilot terkini yang membolehkan pemanduan tanpa tangan di bawah 50 km/j, sangat berguna ketika kesesakan trafik. Versi ProPilot 2.0 juga akan ditawarkan dengan keupayaan pemanduan bebas tangan di lebuh raya serta bantuan pertukaran lorong automatik apabila pemandu memberikan isyarat.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menerima Elgrand secara rasmi ialah pada tahun 2014, dengan varian facelift generasi ketiga — dijual pada harga sekitar RM388,000, menggunakan enjin 3.5 liter V6 NA berkuasa 280 PS/344 Nm bersama transmisi Xtronic CVT.
GALERI: Nissan Elgrand 2026 di Japan Mobility Show













GALERI: Gambar rasmi Nissan Elgrand 2026
The post Nissan Elgrand 2026 di Tokyo – generasi keempat dengan penggerak hibrid ePower, 4WD e-4orce appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
































