Setelah membuka tempahannya sejak 21 September lalu, TC Subaru Sdn Bhd telah melancarkan Subaru Forester 2.5i-S EyeSight 2026 secara rasmi untuk pasaran Malaysia. SUV segmen-C ini merupakan versi import sepenuhnya (CBU) dari Jepun yang berharga atas jalan bermula RM221,500 tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans. Ia didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu) dan juga lima-tahun servis percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) untuk selenggara berkala.
Dan untuk kali ini, ia hanya didatangkan dengan satu varian sahaja yang dipadankan bersama enjin boxer baharu unit FB25 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan hamburan 185 PS (182 hp atau 136 kW) dan tork 247 Nm seperti mana yang ditawarkan di pasaran Indonesia.
Kuasa disalurkan menerusi kotak gear baharu dengan unit TR58 CVT Lineartronic lapan-kelajuan yang mampu memberikan kuasa pendikitan yang lebih lancar serta penggunaan bahan api yang lebih efisien yang turut digandingkan dengan sistem pacuan semua roda (AWD). Pecutan dari 0 hingga 100 km/j mampu dicapai dalam masa 9.7 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 205 km/j.

Dengan binaan Subaru Global Platform yang terkini, Forester versi terkini dipertingkatkan ketegaran kilasannya sebanyak 10%. Selain itu, sistem NVH dan sound proofing juga dipertingkatkan bagi memberikan pengalaman pengendalian yang lebih selesa. Bukan itu sahaja, Forester serba baharu ini juga diberikan stereng kuasa elektrik dwi-pinion dengan nisbah gear berubah memberikan kawalan lebih mudah dan pemanduan yang lebih lancar. Sistem brek juga telah ditala semula bagi meningkatkan prestasi pemanduan yang lebih mantap.
Untuk prestasi yang lebih mantap, sistem brek juga telah ditala semula, selain diberikan sistem suspensi yang terdiri daripada topang MacPherson untuk hadapan dan Double Wishbone di belakang.
Dimensinya juga kini berukuran 4,656 mm panjang (+31 mm), 1,829 mm lebar (+14 mm), 1,730 mm tinggi (tidak berubah) dan jarak roda 2,670 mm (juga tidak berubah).
Dengan mengetengahkan manifesto baharu jenama ini iaitu “One Life. One Subaru.”, Forester generasi ke-enam yang pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada November 2023 ini masih mengekalkan bentuk asalnya tetapi diberikan sentuhan rekaan yang lebih segar dan berani. Ia jelas pada bahagian hadapan termasuk gril yang lebih besar dengan kemasan hitam, lampu hadapan LED dua tingkat dengan fungsi auto-leveliser, lampu kabus LED dan bampar depan yang lebih ‘sarat’, sekali gus memberikan penampilannya yang lebih menonjol. Manakala bahagian sisinya pula menerima gerbang roda berbentuk segi empat dengan kemasan hitam.
Serlahan lain yang ditonjolkan termasuklah seksyen kecil pada tiang-A dan -D yang kini berwarna hitam sekali gus memberikan gaya ala “bumbung terapung”, manakala lampu belakang berbentuk-C sebelum ini digantikan dengan unit LED berbentuk tiga segi yang turut ditampilkan dengan lampu kabus belakang juga dengan unit LED.
Ciri kelengkapan luaran lain termasuk bilah pengelap cermin hadapan automatik, rel bumbung, antena ‘sirip jerung’, corong udara untuk fender hadapan dan rim aloi lima-jejari 18-inci yang dibaluti tayar berprofil 225/55R 18.
Untuk bahagian kabinnya, ia diterapkan dengan rekaan yang lebih mesra pengguna termasuk papan pemuka yang direka semula hampir sama dengan model-model baharu. Ia tampil dengan skrin sentuh infotainmen berorientasi menegak HD penuh bersaiz 11.6-inci, turut menggabungkan kawalan suhu, sekali gus mengurangkan bilangan butang kawalan fizikal pada papan pemuka.

Selain itu, ciri kelengkapan baharu termasuk rekaan tempat duduk ergonomik dibaluti kulit dan Ultrasuede upholstery dengan tempat duduk pemandu diberikan 10-hala larasan (8-larasan untuk penumpang hadapan) berserta sokongan lumbar dan fungsi memori, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi, port USB A dan USB C, serta tailgate kuasa bukaan bebas-tangan dengan kick-sensor.
Ciri lain seperti roda stereng dan tombol gear kedua-duanya balutan kulit masih dikekalkan seperti mana yang ada pada model terdahulu. Juga diberikan paparan meter LCD warna penuh 4.2-inci, pedal penukar gear di belakang roda stereng, sistem penyaman udara automatik dwi-zon, dua power outlet berkapasiti 12-voltan yang terletak di konsol tengah dan ruang penyimpanan barangan, enam-pembesar suara, pencahayaan ambien, dan akses tanpa kunci dengan butang penghidup enjin.
Untuk bantuan pemanduan dan keselamatan, Forester 2.5i-S EyeSight ini ditampilkan dengan SI-DRIVE, Dual X-Mode, kawalan menurun bukit, penahan kenderaan automatik, penvektoran tork aktif, sistem kawalan dinamik kenderaan, auto start/stop dan brek parkir elektronik, kamera pandangan pelbagai sudut 360-darjah dan lapan beg udara.
Menariknya, Forester 2.5i-S EyeSight baharu ini turut menerima EyeSight 4.0 yang dipertingkatkan dengan ciri baharu iaitu Emergency Driving Stop System (EDSS) yang pertama kali diberikan untuk model Subaru. Di mana sistem ini sangat membantu dalam situasi kecemasan apabila pemandu dikesan pengsan atau terlelap sewaktu pemanduan dengan kawalan kecemasan akan diaktifkan serta-merta.
EDSS ini akan membantu mengawal kenderaan berhenti di laluan lurus yang selamat tanpa campur tangan kawalan stereng dan pendikit, sambil menyentak kenderaan, mengeluarkan bunyi untuk membantu menyedarkan pemandu, menyalakan hazard light serta apabila kenderaan berhenti dengan selamat, penguncian pintu akan terbuka secara automatik bagi memberikan laluan bantuan dari luar.
Walau bagaimana pun, di Jepun, EDSS akan membantu kenderaan berhenti di lorong kecemasan, namun untuk pasaran global termasuk Malaysia, ia akan berhenti di lorong lurus yang dilalui (walau pun di lorong kanan sekali pun).

Selain itu, EyeSight 4.0 ini juga merangkumi ciri biasa antaranya kamera stereo, kamera monokular sudut lebar, penderia radar, sistem brek pra-pelanggaran, pengurusan pendikit pra-perlanggaran, stereng kecemasan autonomous, kawalan peluncuran adaptif, kawalan pemusatan lorong, amaran ketibaan lorong dan bantuan lampu tinggi.
Untuk pilihan warna luarannya, ia menawarkan sebanyak 11 variasi iaitu Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Magnetite Grey Metallic, Crystal Black Silica, Daybreak Blue Pearl, Sapphire Blue Pearl, Autumn Green Metallic, Cashmere Gold Opal, Brilliant Bronze Metallic, River Rock Pearl dan Crimson Red Pearl. Manakala untuk tempat duduk, ia diberikan dua pilihan material iaitu kulit dengan rona hitam dan kulit berwarna coklat.
The post Subaru Forester 2.5i-S EyeSight 2026 kini di Malaysia – enjin boxer 2.5L, EyeSight 4.0, CBU; dari RM221,500 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























































