Diumumkan secara rasmi pada Mei lalu, Toyota RAV4 generasi keenam yang terbaru kini membuat penampilan di Japan Mobility Show 2025. Model berkenaan akan menggantikan model generasi kelima sebelumnya yang sudah tujuh tahun dalam pasaran.
Toyota RAV4 generasi keenam masih lagi menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), dan ditawarkan dalam tiga versi janaan yang berbeza — petrol penuh, hibrid dan juga plug-in hybrid (PHEV).
Ia hadir dengan rekaan wajah depan khusus “jerung Hammerhead” terkini Toyota, yang menampilkan lampu utama berbentuk-C. Bentuk sisinya pula masih mengekalkan konsep dari generasi sedia ada yang menampilkan garis-garis bersegi, serta ruang roda yang berotot. Di belakang, ia diberikan lampu lebih nipis, bersambung dengan bar yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.

Toyota RAV4 2026 juga datang dalam tiga penggayaan berbeza — pertama, versi Core yang menerima rupa yang sesuai untuk kegunaan urban dengan gril sarang lebah seakan Corolla Cross facelift; kedua, versi Adventure yang menampilkan rupa lebih lasak dengan gril seperti Land Cruiser Prado dan bampar lebih bersegi; serta ketiga, versi GR Sport yang menampilkan rekaan yang diilhamkan oleh dunia sukan permotoran, dengan gril hadapan menyerupai gril pada GR Corolla.
Bagi Toyota RAV4 Core, ia menampilkan ukuran 4,600 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,690 mm — ini sebenarnya saiz dan jarak roda yang sama sepenuhnya dengan model generasi sedia ada, kecuali ia 5 mm lebih rendah. Bagi varian Adventure dan GR Sport pula, ia adalah sedikit lebih lebar dengan 1,880 mm.
Untuk unit rangkaian kuasa, buat masa sekarang hanya sedikit perincian bagi model pasaran Amerika Syarikat didedahkan. Di sana, model petrol penuh menerima enjin 2.5 liter empat silinder NA dengan pilihan versi pacuan roda hadapan atau roda belakang.

Kemudian untuk varian hibrid, versi pacuan roda hadapan menerima kuasa 226 hp manakala versi hybrid AWD pula dibekalkan 236 hp. Bagi versi PHEV pula ia disertakan dengan sistem AWD dan kuasa keseluruhan 320 hp.
Sistem PHEV berkenaan didakwa boleh bergerak dengan janaan elektrik sepenuhnya sejauh 150 km. Bateri sistem PHEV ini boleh dicas semula dengan menerima sistem AC 11 kW, dan juga sistem pengecas pantas DC yang didakwa boleh memenuhkan bateri dari kadar 10-80% dalam masa sekitar 30 minit.
RAV4 terbaru ini juga merupakan model pertama Toyota yang menerima Arene, sebuah platform pembangunan perisian yang dihasilkan oleh Woven by Toyota. Jenama itu menyatakan ini adalah langkah pertama bagi menjadikan model tersebut sebagai sebuah kenderaan diperhalusi oleh perisian.
Model generasi keenam ini juga adalah yang pertama menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense 4.0 (TSS 4.0) terkini. Antara fungsi yang diberikan pada TSS 4.0 tersebut termasuk Emergency Driving Stop Function (EDSS) yang membantu pemandu memberhentikan kederaan sekiranya terjadi perkara seperti pemandu yang tiba-tiba sakit dan sebagainya.
Di dalam, papan pemukanya tidak lagi kelihatan bosan seperti model lama. Toyota memberikan rekaan yang diinspirasikan daripada papan pemuka Land Cruiser Prado yang berkotak, futuristik dan nampak lasak pada RAV4 2026 ini.
Ia juga menerima paparan skrin bersaiz 12.3-inci untuk instrumen digital berbentuk segi-empat tanpa perumah, dan juga skrin infotainmen bersaiz 12.90-inci yang diletakkan secara berdiri sendiri di tengah. Roda stereng juga direka selari dengan papan pemuka bersama rekaan susunan suis serta perumah beg udara berbentuk petak, manakala pada varian lebih tinggi ia turut diberikan head-up display.
Untuk sistem bunyi, Toyota memberikan pilihan sistem audio sama ada dengan enam atau sembilan pembesar suara. Bahagian konsol tengah SUV ini menampilkan tombol gear bersaiz kecil diletakkan berhampiran pemegang cawan. Perehat tangan pada bahagian konsol ini juga boleh diterbalikkan untuk dijadikan sebagai talam/tray.
Bahagian kargo RAV4 terbaru ini memberikan ruang simpanan berkapasiti 749 liter dengan semua tempat duduk dinaikkan, sedikit lebih besar dari model sebelumnya yang menawarkan kapasiti 733 liter. Untuk mengangkat barang lebih banyak atau lebih besar, tempat duduk baris kedua dan ketiga SUV ini boleh diturunkan dan menjadikan lantai yang rata.
Toyota RAV4 generasi keenam akan mula dijual di pasaran Jepun dan Amerika Syarikat bermula lewat tahun ini. Ia kemudiannya akan tiba ke pasaran global melibatkan lebih 180 negara. Kita di Malaysia juga lazimnya menerima Toyota RAV4, yang mana model sedia ada telah dilancarkan di sini sejak Jun 2020, ditawarkan dengan enjin petrol penuh 2.0 liter dan 2.5 liter. Jadi, model terbaru ini juga akan tiba tak lama lagi?
The post Toyota RAV4 2026 — petrol, hibrid dan PHEV dalam tiga gaya, Core, Adventure, GR Sport; jarak EV 150 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.























































