Setelah membuat pendedahan secara rasmi bagi tambahan model terbaru Land Cruiser FJ minggu lalu, Toyota menampilkan SUV berkenaan buat pertama kali sebagai antara tarikan utama ruang pamerannya di Japan Mobility Show 2025 yang sedang berlangsung.
FJ merupakan merupakan tambahan terbaru dari siri yang paling kecil bagi keluarga model Land Cruiser — sebelum ini telah diperkenalkan Land Cruiser 300 Series (2021), Land Cruiser 70 Series (2023) dan Land Cruiser 250 Series (2024).
Mengambil inspirasi daripada model lagenda Land Cruiser dengan kod casis FJ40/BJ40, model ini menjadi penawaran peringkat kemasukan bagi keluarga Land Cruiser, dengan penampilan retro seperti model sebelumnya.

Land Cruiser FJ dibangun menggunakan casis ladder frame dari platform IMV (sama seperti Hilux), dengan diberikan pendakap tambahan untuk menjadikannya lebih tahan lasak. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,575 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,960 mm tinggi dengan jarak roda sejauh 2,580 mm. Berbanding Toyota Fortuner, FJ terbaru ini 220 mm lebih pendek.
Jarak rodanya pula adalah 165 mm lebih pendek berbanding Fortuner, tetapi kelebarannya adalah sama, dan FJ 125 mm lebih tinggi — ia dihasratkan untuk menjadi sebuah jentera off-road yang lebih lincah berbanding model lain dalam siri keluarga yang sama.
Toyota Land Cruiser FJ 2026 ini dilengkapi dengan enjin yang sama seperti Fortuner — unit 2TR-FE 2.7 liter empat-silinder yang menghasilkan kuasa sebanyak 163 PS dan tork maksimum 246 Nm. Ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan 6 Super ECT, lengkap dengan sistem pacuan empat roda separuh masa.

Model ini datang dengan pendekatan rekaan berkotak, baik di luar dan di dalam. Beberapa pendekatan rekaan yang diberikan termasuklah tiang C yang tebal, tailgate dengan engsel di sisi dengan tayar ganti di luar serta landasan di bumbung.
Rekaan bampar depannya gemuk dan dibikin selari dengan pelindung plastik di sisi badan, dan ada juga disediakan pemijak kaki. Panel sisi bampar depan dan belakang model ini boleh dicabut berasingan daripada bahagian bampar utama — untuk memudahkan baik pulih dan penggantian bahagian badan jika perlu.
Rekaan berkotak-kotak diteruskan ke dalam bahagian kabin Land Cruiser FJ ini. Ia menampilkan papan pemuka dan konsol tengah seperti Land Cruiser 250 tetapi dalam skala lebih kecil, manakala rekaan tombol dengan dan roda stereng pula kelihatan seiras.
Papan pemuka direka dengan panel instrumen yang diletak di posisi lebih rendah bagi memberikan pandangan lebih jelas untuk pemandu terhadap cermin hadapan. SUV ini juga hadir hanya dalam konfigurasi lima-tempat duduk.
Model ini juga direka supaya mudah untuk diubah suai. Antara kelengkapan yang ditawarkan bersekali sebagai pilihan ialah rekaan lampu depan dengan lampu DRL LED bulat mirip Land Cruiser klasik, rak bumbung serta salur snorkel untuk membolehkannya meredah sungai tanpa air masuk ke saluran kemasukan udara untuk enjin.
Tiang C SUV ini juga tebal kerana menempatkan panel MOLLE (Modular Lightweight Load-carrying Equipment) di bahagian dalam yang membolehkan pelbagai kelengkapan aktiviti outdoor dan perkhemahan disimpan dengan rapi. Panel yang sama turut boleh diletakkan pada pintu tailgate belakang.
Bagi aspek keselamatan, ia lengkap dengan ciri seperti sistem ADAS Toyota Safety Sense, dengan fungsi seperti amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik dan lain-lain. Land Cruiser FJ akan mula dijual di Jepun pada pertengahan tahun hadapan. Ia akan dipasang dan dikeluarkan di Thailand, untuk pasaran Asia. Ada kemungkinan model ini dipasarkan di Malaysia nanti?
The post Toyota Land Cruiser FJ — casis <em>ladder frame</em> IMV, enjin 2.7 liter 163 PS/246 Nm; akan masuk Malaysia? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



































