Kereta kei sememangnya popular di Jepun dan BYD kini bersedia menyertai segmen unik itu. Semasa Japan Mobility Show yang sedang berlangsung, pengeluar automotif dari China tersebut memperkenalkan model konsep BYD Racco, sebuah kereta elektrik (EV) kei yang dijadualkan mula dijual di Jepun pada musim panas tahun 2026. Menariknya, nama “Racco” diambil daripada terjemahan Jepun bagi “sea otter” atau memerang laut.
Seperti kebanyakan kereta kei lain, BYD Racco direka mengikut piawaian saiz khas untuk pasaran Jepun. Ia mempunyai panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm dan tinggi 1,800 mm, serta mampu memuatkan sehingga empat orang penumpang.
Reka bentuk badannya yang berbentuk kotak bertujuan memaksimumkan ruang dalaman, manakala bahagian hadapannya menampilkan gril tertutup dengan lampu siang (DRL) berbentuk C yang mengelilingi lampu utama — memberikan gaya moden dan tersendiri.
Bahagian bawah bampar turut menempatkan lampu kabus serta kemasan hitam berbentuk melengkung ke bawah, menjadikan wajah hadapan Racco seakan-akan “muram” apabila dilihat dari depan. Seperti Honda N-Box generasi baru, model ini juga menggunakan struktur tiang-A berganda (double A-pillar) yang menempatkan tingkap kecil berbentuk segi tiga untuk meningkatkan keterlihatan pemandu.
Dari tepi, tempat pengecasan boleh ditemui di fender kanan hadapan, sementara c-pillar yang sebahagiannya berwarna hitam memberikan kesan bumbung terapung. Racco turut menggunakan pintu gelungsur di bahagian belakang dan pemegang pintu yang direka kemas dalam lekuk badan kenderaan. Di bahagian belakang pula, tailgate menempatkan lampu belakang melintang penuh dengan susunan menegak di sisi, manakala ruang untuk nombor plat diletakkan di tengah.
Dari segi mekanikal, Racco menggunakan pacuan roda hadapan (FWD) dan dikuasakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP). BYD akan menawarkan dua pilihan varian – jarak gerak dekat dan jauh, masing-masing dengan kapasiti bateri berbeza.
Menurut laporan, versi jarak gerak jauh dijangka dilengkapi bateri 20 kWh dengan jarak perjalanan sekitar 180 km berdasarkan piawaian WLTC. Ciri pengecasan pantas DC sehingga 100 kW juga disokong bagi mempercepatkan masa pengecasan.
Pelancaran Racco menandakan langkah penting BYD dalam menembusi segmen kei Jepun, menjadikannya model pertama syarikat itu yang dibangunkan khas untuk pasaran tersebut. Dengan harga anggaran bermula sekitar 2.6 juta yen, BYD Racco bakal bersaing dengan model kei EV sedia ada seperti Honda N-One e:, Mitsubishi eK X EV dan Nissan Sakura.
The post BYD Racco bakal sertai segmen kei car EV di Jepun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















