Bagi meraikan ulang tahun ke-101 jenama Morris Garages (MG), MG Motor Malaysia telah memperkenalkan edisi khas bagi model elektrik popularnya, MG4 101 Edition. Model ini dijual pada harga RM129,536 atas jalan tanpa insurans, iaitu hampir sama dengan harga varian MG4 Lux Extended Range sedia ada (RM128,888 tidak termasuk kos OTR dan insurans).
Sebagai model edisi khas, MG4 101 Edition menampilkan sentuhan rekaan eksklusif bagi membezakannya daripada varian biasa. Bahagian bumbung dihiasi dengan rekaan Union Jack bersama tulisan “One of one” di bahagian tengah, simbolik kepada edisi istimewa ini. Di bahagian pintu pula, terdapat pelekat putih dengan tulisan “101 Edition” di bawah cermin sisi.
Model ini hanya ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Dynamic Red dan Holborn Blue, masing-masing dipadankan dengan rekaan bahagian dalam dwi-tona yang menaikkan lagi penampilannya.
Dari segi kuasa, MG4 101 Edition mengekalkan sistem janaan yang sama seperti varian Lux Extended Range, dengan bateri 77 kWh jenis nickel cobalt manganese (NCM) yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 520 kilometer mengikut piawaian WLTP. Motor elektrik di gandar belakang menghasilkan 245 PS (241 hp / 180 kW) dan 350 Nm tork, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 6.1 saat.
Bagi pengecasan, model ini menyokong AC 11 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 6.2 jam. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 135 kW, membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam masa hanya 38 minit.
Ciri standard pada MG4 101 Edition kekal lengkap seperti biasa, termasuk rim aloi 18 inci, lampu utama LED automatik dengan DRL, gril aktif, tempat duduk balutan kulit, tempat duduk pemandu berkuasa, pendingin hawa satu zon, pad pengecas tanpa wayar, paparan instrumen digital 7 inci dan skrin infotainmen 10.25 inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.
Selain itu, ia turut dilengkapi sistem bunyi enam pembesar suara, enam beg udara, serta pakej keselamatan ADAS lengkap yang merangkumi brek kecemasan automatik (AEB), Adaptive Cruise Control, pemantauan titik buta (BSM), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan pertukaran lorong dan Traffic Jam Assist.
The post MG4 EV 101 Edition di Malaysia – grafik istimewa untuk sambut ulang tahun, harga dari RM130k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















