MG Motor Malaysia hari ini memperkenalkan dan membuka tempahan model edisi terhad MG5 X Edition untuk pasaran tempatan, yang ditawarkan hanya 300 unit dan dijual pada harga RM96,388 tidak termasuk kos atas jalan dan tanpa insuran.
Dengan harga hampir RM2,500 lebih mahal dari varian Lux biasa, MG5 X Edition datang standard dengan kit badan yang merangkumi spoiler bawah bampar hadapan, sisi dan juga bampar belakang serta spoiler but yang kesemuanya hadir dalam kemasan hitam berkilat.
Manakala pada sebelah dalam, model ini diberikan scuff plate pada bendul pintu dengan grafik MG5 X Edition dan juga kamera perakam digital (dashcam) hadapan dan belakang yang datang sekali dengan kad SD 64GB. Menurut MG Motors Malaysia, semua aksesori yang dipadankan pada MG5 X Edition ini dilindungi dengan waranti selama setahun.
Perincian lain masih lagi sama di mana ia digerakkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder DOHC NA berkuasa 114 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm, digandingkan bersama kotak gear i-CVT automatik bersama lapan-kelajuan maya.
Model ini juga datang standard dengan kelengkapan termasuk lampu hadapan automatik LED dengan lampu nyalaan siang, cermin sisi kawalan elektrik, cermin suria, set rim aloi ‘Tomahawk’ berdiameter 17-inci, tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, upholsteri tempat duduk kulit hitam dengan serlahan merah, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 7-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta enam pembesar suara.
Ia juga menerima sistem pendingin hawa zon tunggal dengan kawalan digital, disertakan bersama liang penghembus udara untuk kabin belakang. Dan bagi kelengkapan keselamatan, MG5 pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan traction, dan kawalan brek ketika selekoh.
Sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) MG Pilot juga diberikan secara standard, menampilkan fungsi termasuk Amaran Keluar Lorong dan Bantuan Tukar Lorong, Pengesan Titik Buta, Amaran Pelangganra Belakang dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang.
Lima warna badan ditawarkan untuk pasaran Malaysia ini iaitu Nuclear Yellow, Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl dan Camden Grey.
The post MG5 X Edition diperkenal di Malaysia – tambahan kit badan dan dashcam, hanya 300 unit, RM96,388 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

























