Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan melaksanakan lencongan trafik di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 24 hingga 26 Okt ini sempena dengan penganjuran Petronas Grand Prix Malaysia 2025.
Pengarah JSPT Bukit Aman, CP Datuk Seri Mohd Yusri Haji Hassan Basri berkata, langkah ini diambil bagi kelancaran pergerakan lalu lintas serta menjamin keselamatan pengguna jalan raya di kawasan sekitar laluan masuk dan keluar ke SIC sepanjang tempoh acara.
Pelaksanaan pengurusan trafik berkenaan melibatkan laluan masuk orang awam ke SIC yang melalui Bulatan Masjid KLIA menuju ke kawasan parkir SIC, lampu isyarat Kuarters KLIA dari arah Sepang, Enstek, Labu dan Nilai, serta Bulatan Kargo KLIA ke Jalan Pekeliling menuju ke kawasan parkir SIC.
Manakala laluan keluar dari SIC pula melibatkan kawasan parkir menuju ke lampu isyarat SIC, kemudian membelok kanan ke Jalan Kuarters KLIA untuk ke arah Sepang dan Enstek, dari kawasan parkir menuju ke lampu isyarat Bukit Tinjau kemudian membelok kiri ke Jalan Pekeliling menuju Bulatan Kargo.
Bagi laluan petugas PDRM dan VIP, ia melibatkan laluan masuk dari arah Bulatan Masjis KLIA ke kawasan paddock secara aliran kontra dan laluan keluar pula dari arah kawasan paddock ke Bulatan Masjid KLIA secara aliran kontra.
“Seramai 177 orang pegawai kanan polis dan pegawai rendah JSPT akan ditempatkan dan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik bagi membantu kawalan trafik serta memastikan keselamatan awam terpelihara. JSPT menyeru semua pengunjung agar memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, menggunakan laluan alternatif yang disediakan serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesulitan dan kesesakan,” katanya.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan pengangkutan awam. Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan perantara LRT serta MRT, akan menyediakan sebanyak 82 buah bas Rapid KL bagi membawa peminat untuk menyaksikan perlumbaan berprestij itu. Info lanjut mengenainya DI SINI.
The post Polis laksana lencongan trafik sementara di sekitar SIC sempena Petronas GP Malaysia 2025 – 24-26 Okt appeared first on Paul Tan’s Automotive News.